Sikie berkorban, Salang Presiden

Datuk John Sikie Tayai (dua kiri) dan Datuk Joseh Salang Gandum (dua kanan) semasa sidang media di ibu pejabat PRS hari ini. Kredit gambar Borneo Post

KUCHING—Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak’s (PRS) sebulat suara bersetuju bahawa tiada pemilihan parti diadakan pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) minggu ini setelah mencapai kesepakatan berhubung barisan kepimpinan parti itu.

Memetik laporan The Borneo Post, Setiausaha Agung PRS Dato Janang Bungsu berkata, dengan kesepakatan yang dicapai berhubung barisan kepimpinan parti itu, ia menunjukkan satu persetujuan yang mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan keutuhan parti.

"Satu pengorbanan peribadi yang besar calon presiden Datuk John Sikie Tayai dan pemangku presiden Datuk Joseph Salang Gandum demi parti.

"Datuk John Sikie telah menunjukkan teladan yang baik dengan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden dan menerima jawatan lain yang ditawarkan

"Datuk Joseph Salang pula, bersetuju untuk dikekalkan dalam jawatan presiden parti bagi mengekalkan keseimbangan dalam parti,” kata Janang pada sidang media di ibu pejabat PRS di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Salang, Sikie, dan Ketua Penerangan PRS Datuk Wilfred Nissom.

Janang membuat pengumuman itu selepas Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan pada malam tadi memaklumkan Salang akan terus memikul tanggungjawab sebagai presiden parti, menggantikan mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

Snowdan menerusi laporan Malay Mail dipetik berkata, Sikie, yang juga ADUN Kakus dan Menteri di Pejabat Premier Sarawak, memutuskan untuk menarik diri dan tidak akan bertanding merebut jawatan presiden parti meskipun telah menyerahkan borang penamaan.

Janang berkata, pemimpin PRS bimbang kesan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) jika mereka gagal menangani konflik dalam parti.

Jelasnya, sebab itu kepimpinan parti sebulat suara bersetuju dengan barisan kepimpinan yang telah dipersetujui demi perpaduan dan solidariti PRS.

"Demi menjaga maruah PRS serta kepimpinan politik Dayak, yang mana kedua-dua boleh tergugat jika kita gagal menangani krisis dalaman parti," katanya.

PRS merupakan parti komponen dalam GPS yang akan mengadakan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) di Sibu pada 23 dan 24 April ini.
Next Post Previous Post