Sarawak usahakan khidmat Internet jalur lebar berkelajuan tinggi guna satelit


KUCHING-- Bosan menunggu kerjasama syarikat Telekomunikasi tempatan, Sarawak mengorak langkah mengusahakan khidmat Internet jalur lebar berkelajuan tinggi kos efektif menggunakan system satelit Measat.

Meskipun mempunyai ratus, malah ribuan antena di luar bandar, keengganan syarikat telco menyediakan perkhidmatan menafikan hak penduduk luar bandar untuk menikmati internet berkelajuan tinggi.

Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, usaha itu menerusi kerjasama Reach Ten Communication Sdn Bhd (Reach10) dengan MEASAT bagi projek Gerbang Satelit MEASAT-3d High Throughput (HTS) Malaysia Timur yang akan memberi akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi. 


Jelasnya, internet berkelajuan tinggi menggunakan satelit Measat menyediakan akses kepada sambungan jalur lebar adalah satu kemestian.

"Ini bagi membolehkan semua rakyat Sarawak mempunyai peluang yang sama untuk mengambil bahagian dalam ekonomi.

"Internet jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar yang tidak diliputi sebarang rangkaian daratan di seluruh negara dengan kelajuan sehingga 100Mbps.

"Melalui transformasi digital, kita menyasarkan untuk mencapai akses jalur lebar yang saksama, dengan 99.9 peratus isi rumah di seluruh kawasan bandar dan luar bandar mempunyai sambungan Internet manakala kelajuan ditingkatkan daripada 1-10Mbps kepada 20-100Mbps," katanya pada majlis pecah tanah bagi projek tersebut di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di sini pada Khamis.

Tambah Julaihi, Gerbang Satelit MEASAT-3d HTS Malaysia Timur ini mampu menyediakan ketersambungan bagi 3,000 lokasi tambahan di kawasan luar bandar di Sarawak.


“Projek ini akan disokong oleh satelit kelapan MEASAT dalam orbit iaitu MEASAT-3d yang bakal dilancarkan pada bulan Jun depan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan projek tersebut akan menyumbang kepada sasaran Kerajaan Sarawak untuk menggandakan ekonomi negeri dari RM136 bilion pada 2019 ke RM282 bilion menjelang 2030 selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Bagi mencapai matlamat PCDS 2030, usaha merapatkan jurang digital luar bandar penting dalam memastikan semua rakyat Sarawak mempunyai peluang sama rata untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri,’’ ujarnya.


Sementara itu, Julaihi menjelaskan, satelit baharu itu akan meningkatkan kapasiti untuk wujudkan masyarakat digital yang inklusif di samping menyokong penggunaan aplikasi jalur lebar tinggi untuk kegunaan sektor-sektor seperti kesihatan serta pendidikan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation, Sudarnoto Osman.
Next Post Previous Post