Polis terpaksa lepaskan tembakan, pengedar dadah nafi rempuh kereta polis dua hari berturut-turut




Empat lelaki berdepan hukuman mati edar dadah

KUCHING-- Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah. Begitu nasib empat suspek yang sebelum ini melarikan diri dan cuba melanggar anggota polis sehingga memaksa polis melepaskan tembakan berjaya ditangkap di Satok petang semalam. 


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memberitahu Sarawak Update, keempat-empat suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun yang ditangkap di Satok petang semalam disyaki kumpulan sama yang melanggar kereta polis dan orang awam yang berlaku petang Isnin. 


"Ketika pasukan serbuan cuba untuk menghampiri suspek, suspek telah masuk semula ke dalam kereta dan terus meluru ke hadapan lalu melanggar kereta pasukan jenis Myvi warna putih sebanyak dua kali," katanya dalam kenyataan malam semalam. 

Jelasnya lagi, ekoran pelanggaran tersebut menyebabkan kerosakkan di bahagian hadapan, lampu hadapan sebelah kanan pecah serta kerosakkan di bahagian hadapan kanan kereta. 


"Pada masa yang juga seorang anggota polis telah melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan sebelah kiri tetapi kereta tersebut masih cuba melarikan diri dan berjaya lolos," dedahnya. 


Abang Zainal menjelaskan dalam kejadian itu juga suspek telah melanggar tiga kereta orang awam yang berada di kawasan berhampiran. 


"Polis cuba untuk mengejar suspek tetapi tidak berjaya," ujarnya. 


Bagaimanapun, katanya, keempat-empat suspek akhirnya berjaya ditangkap sekitar jam 2.30 petang Selasa di hadapan pejabat Maxis Center Kuching, Jalan Satok oleh pasukan dari BSJD, BSJND Padawan dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. 


"Semasa usaha menghentikan kenderaan jenis Proton Wira, suspek telah bertindak melanggar tiga kenderaan orang awam dan kenderaan pasukan. 


"Pasukan bertindak menghentikan kenderaan dan telah menangkap empat lelaki tempatan dalam kenderaan tersebut," ujarnya. 


Selain itu, beliau memberitahu polis turut merampas satu paket plastik lutsinar besar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 103 gram, tujuh keping kerajang timah warna perak/merah disyaki pil Eramin 5 mengandungi 64 biji pil dengan anggaran berat 18.16 gram, sebuah kereta Proton Wira dan serangkai anak kunci kereta. 


Jelasnya lagi, kesemua suspek tidak mengaku terlibat dalam kes melarikan diri dan cubaan melanggar polis. 


Tambahnya, tiga daripada empat suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah. 


Pada masa yang sama katanya, ujian saringan air kencing keempat-empat suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. 


"Kesemua suspek masih dalam pengaruh dadah semasa tangkapan dibuat.


"Suspek dan barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya. 


Semalam, video aksi kerja-mengejar sepasukan polis sehingga berjaya menangkap kesemua suspek menjadi tular di media sosial Facebook yang telah dikongsikan 3,400 kali dengan tontonan melebihi 250,000. 


Dalam video tersebut keempat-empat suspek dikatakan cuba melarikan diri mengunakan sebuah kereta jenis Proton Wira daripada pemeriksaan polis. 


Bagaimanapun, usaha mereka digagalkan selepas disekat kereta dipercayai sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Next Post Previous Post