PROJEK SAKIT: Telbina Technology jalin kerjasama dengan syarikat China

Gambar arkib

KUCHING— Syarikat tempatan di Sarawak iaitu Telbina Technology Sdn Bhd hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat CSCEC Strait Construction and Development Co Ltd dari China bagi menyiapkan projek tertangguh atau ‘projek sakit’ di negeri itu.

Pada majlis menandatangani MOU itu, yang disaksikan Menteri di Pejabat Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai di sini, Telbina Technology Sdn Bhd diwakili Pengerusinya Datuk Rahman Lariwoo dan Pengarah Pengurusan syarikat itu, Jerriface Mason.

CSCEC Strait Construction and Development pula diwakili Timbalan Pengurus Besar CSCEC Strait (Malaysia) Construction and Development Sdn Bhd Tiana Lin dan Pengarah Eksekutifnya, Jiang Yin Gui.

Rahman berkata mereka sudah mengenal pasti beberapa projek sakit di Sarawak yang boleh dilaksanakan dan membantu kerajaan negeri menyiapkannya.

"Kami tidak ada butiran (projek) itu tapi kami lihat terdapat banyak projek infrastruktur yang tertangguh sekarang dan menjejaskan penduduk terutama mereka yang berada di luar bandar," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post