Penjual telefon miliki pistol, 16 peluru didenda RM3,000

Gambar hiasan

KUCHING—Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhi hukuman denda RM3,000 terhadap seorang penjual telefon atas kesalahan memiliki sepucuk pistol dan 16 butir peluru tanpa lesen sah.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Chuan Wee, 43, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Memetik laporan Suara Sarawak, Majistret Syarifah Fatimah memberitahu, tertuduh boleh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan dua pertuduhan, Chuan didakwa memiliki senjata sepucuk pistol 9mm dan 16 butir peluru hidup tanpa lesen sah di sebuah rumah beralamatkan Lorong 2F, Jalan Rock di sini, kira-kira jam 11.00 pagi, 28 September 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak telah membuat satu serbuan di sebuah rumah yang dipercayai terdapat kegiatan dadah.

Hasil serbuan dan pemeriksaan pada rak kayu tempat sembahyang di rumah berkenaan telah menemukan 16 butir peluru, sepucuk pistol dan 35 utas tangkal azimat.

Selain itu, siasatan lanjut mendapati pistol dan peluru yang diuji oleh pegawai persenjataan adalah buatan sendiri yang berfungsi dengan baik dan boleh meletup serta melepaskan tembakan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post