Malaysia mampu tampung permintaan minyak sawit dunia susulan larangan eksport Indonesia

Zuraida (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid sempena majlis meraikan golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas semalam. Gambar kredit FB Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR— Malaysia yakin dapat menampung keperluan dan permintaan minyak kelapa sawit dunia susulan larangan eksport kelapa sawit yang diumumkan Indonesia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin melahirkan keyakinan dengan posisi Malaysia yang mampu memenuhi permintaan antarabangsa yang dijangka meningkat, terutamanya setelah Malaysia membuka sempadan antarabangsa semenjak 1 April lalu.

“Saya yakin Malaysia bersedia dan kita mampu menawarkan bekalan kelapa sawit kepada pasaran antarabangsa kerana produktiviti kita dijangka bertambah berikutan dengan pembukaan sempadan, yang mana pengambilan pekerja asing telah bermula,” beliau memberitahu media selepas meraikan 350 buah keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas.

Majlis itu dianjurkan oleh Majlis Kayu Kayan Malaysia, agensi dibawah KPPK dan sumbangan wang tunai turut diserahkan kepada 17 buah surau dan dua masjid yang terlibat dalam usaha menyokong aktiviti yang dilakukan selepas lebih dua tahun penularan wabak Covid-19.

Mengulas mengenai prestasi industri kayu kayan negara, Zuraida turut menjelaskan bahawa industri kayu-kayan turut terjejas akibat tuduhan ke atas industri kelapa sawit.

“Kita mengambil pendekatan yang sama untuk industri kayu-kayan, kita akan bertemu dengan Kesatuan Eropah (EU) pada 8 Mei berkaitan buruh paksa dan minyak sawit bagaimanapun,  kita masih belum mendapat tarikh bagi pertemuan dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS),” ujar beliau lagi. 

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.