GPS 'dalam misi' tawan semua kerusi Parlimen pada PRU15

Abang Johari (paling kanan) semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan ke-5 PRS di sini hari ini. Gambar kredit Sarawakku

SIBU—Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu memastikan semua kerusi Parlimen di negeri ini termasuk yang disandang pembangkang ditawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Seruan itu disuarakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menegaskan, ini penting supaya Sarawak mempunyai suara yang lebih kuat di Parlimen.

"Kita (Sarawak) harus mempunyai ramai Ahli Parlimen GPS daripada apa yang ada sekarang ini supaya suara Sarawak terus 'didengar' di peringkat pusat," kata Pengerusi GPS itu.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sebuah hotel di sini hari ini.

Menyentuh kerusi Parlimen Sri Aman, Lubok Antu dan Julau, yang dahulunya milik PRS, namun kini disandang wakil rakyat daripada pembangkang, beliau menegaskan kesemua kerusi itu harus ditawan semula oleh PRS.

Namun, katanya untuk mencapai matlamat itu, kerjasama semua parti komponen GPS harus diperhebatkan dan dikekalkan.

"Bantuan parti-parti komponen GPS yang lain amatlah diperlukan untuk memastikan PRS mampu menawan semula ketiga-tiga kerusi Parlimen ini.

“Kita bukan mahu menjadi 'king maker' (kerana ia) bukan itu tujuan kita. Kita mahu suara Sarawak didengar (kerajaan persekutuan),” tegasnya.

Pada PRU14, PRS hilang kerusi tersebut termasuk Parlimen Sri Aman yang kini menjadi milik pembangkang apabila penyandangnya menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada masa yang sama, Abang Johari memuji semangat kesepakatan para pemimpin tertinggi PRS yang telah bersetuju bahawa tiada pertandingan bagi jawatan presiden di mana telah berlaku kekosongan apabila presidennya, mendiang Tan Sri Datuk Dr James Jemut Masing meninggal dunia pada tahun lepas.

Pemangku Presiden, Datuk Joseph Salang Gandum diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Presiden setelah Naib Presiden, Datuk John Sikie Tayai menarik diri daripada pertandingan untuk merebut jawatan presiden.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari memberi penghormatan kepada mendiang Masing yang disifatkannya sebagai pemimpin yang telah banyak memberi sumbangan dari segi tenaga, jiwa dan raga untuk kepentingan rakyat, khususnya masyarakat di luar bandar.

Tambahnya, mendiang juga adalah seorang pemimpin yang sentiasa ingin bekerjasama dengan parti-parti lain untuk memajukan masyarakat dan Sarawak.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing dan wakil-wakil parti-parti komponen GPS.
Next Post Previous Post