Op Carilamat Francis di Pulau Burung ditamatkan

Operasi Carilamat mangsa yang dilaporkan hilang dan dipercayai jatuh di perairan Pulau Burung, Sebuyai ditamatkan berikutan tiada petunjuk baharu.

KUCHING—Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak hari ini menamatkan Op Carilamat lelaki yang dilaporkan hilang, dipercayai jatuh laut di perairan Pulau Burung, Sebuyau pada 18 April lepas.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, penamatan Op Carilamat mangsa, Francis Awi, 39 tahun tersebut diputuskan setelah pihak pasukan penyelamat bersetuju berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui sepanjang tujuh hari operasi dijalankan.

Ahli keluarga mangsa Francis Awi hadir sedang mendengar taklimat berkaitan penamatan Op Carilamat itu.

"Op Carilamat yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching bersama agensi sahabat ke atas seorang mangsa yang dipercayai jatuh laut di perairan Pulau Burung, Sebuyau pada 18 April lepas, telah ditamatkan pada jam 2.30 petang tadi.

"Seramai lima orang ahli keluarga mangsa telah hadir bagi mendengar taklimat dari pasukan penyelamat bertempat di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Sebuyau, petang tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, secara keseluruhan keluasan pencarian bagi Op Carilamat ini adalah seluas 1020.82 batu nautika persegi, merangkumi perairan Pulau Burung, Sebuyau, Maludam sehingga Kabong dan telah melibatkan seramai 120 orang pegawai dan anggota, termasuk orang awam.

Tambah Zin Azman, pelbagai aset kerajaan telah digunakan sepanjang tujuh hari Op Carilamat itu.

Antaranya katanya, pesawat udara AS355N (Pasukan Gerakan Udara), bot KILAT 22 (Maritim Malaysia), bot PA17 (Pasukan Polis Marin), empat buah aset Sarawak Coast Guard (SC TERUBOK, SC SENANGIN, SC TERUSAN, BARACCUDA), satu bot Aluminium (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) dan satu bot Aluminium APM MKN04/20 (Angkatan Pertahanan Malaysia).

"Sehubungan itu, kita mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Udara PDRM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan RELA, Sarawak Coast Guard, penduduk kampung dan semua yang telah terlibat sepanjang tujuh hari Op Carilamat yang telah dikoordinasikan oleh MRSC Kuching," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa komuniti maritim agar sentiasa pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

Selain itu, katanya utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan.

"Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544/432016," katanya lagi.
Next Post Previous Post