Keuntungan bersih Astro merosot

Astro Malaysia Holdings Bhd. Gambar kredit Malay Mail

KUALA LUMPUR— Astro Malaysia Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM460.87 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2022 daripada RM539.85 juta pada tahun lepas.

Penurunan itu berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah merosot 3 peratus disebabkan kos kandungan dan jalur lebar yang tinggi serta perbelanjaan pemasaran dan pengedaran.

Ini dikurangkan oleh kos barangan yang rendah sebagai peratusan perolehan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia. 

Perolehannya merosot sebanyak 4.2 peratus kepada RM4.18 bilion daripada RM4.36 bilion sebelum ini, berikutan penurunan perolehan langganan dan jualan barangan, diimbangi oleh jualan hak pemprograman dan perolehan pengiklanan yang tinggi. Perolehan pada tahun itu terus terjejas oleh pandemik COVID-19.

Pada asas suku tahunan, keuntungan bersih suku keempat bagi tahun kewangan 2022 sebanyak RM126.59 juta daripada RM167.83 juta pada tahun lepas manakala perolehan, masing-masing sebanyak RM1.03 bilion dan RM1.11 bilion.

Melihat ke hadapan tahun kewangan berakhir 2023, Astro berkata ia memperkasakan dengan menjadi penyedia perkhidmatan Internet, menggabungkan Astro Fibre dengan kandungan dan memperkenalkan jalur lebar Astro Fibre untuk melengkapkan rangkaian penawarannya.

Kumpulan akan terus melabur dalam pelan transformasinya, terutamanya kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data, pengiklanan dan infrastruktur teknologi untuk memudahkan proses.

Kumpulan juga kekal optimis dengan berhati-hati dan akan terus memantau keadaan perniagaan selain menguruskan kos.

Ia mengumumkan dividen interim keempat satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham untuk tahun fiskal berakhir 31 Jan, 2022, yang akan dibayar pada 29 April, 2022 dengan tarikh kelayakan pada 15 April, 2022.

Lembaga Pengarah turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.75 sen sesaham yang perlu dibayar pada tarikh yang akan ditentukan, tertakluk kepada mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 syarikat yang akan datang, katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post