MAFI peruntuk RM150 juta perkasa pengeluaran makanan di Sarawak

Abang Johari (kanan) dan Ronald (kiri) semasa pertemuan di pejabat Premier Sarawak. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING—Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan lebih RM150 juta untuk melaksanakan pelbagai program merentasi semua subsektor pertanian, perikanan dan ternakan di Sarawak.

MAFI dalam kenyataan hari ini berkata RM53.8 juta daripada jumlah itu diperuntukkan untuk pelaksanaan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Subsidi Insentif Padi (SIPP), Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dan Skim Baja Dan Racun Padi Bukit / Huma (SBRPB) tahun ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Abang Johari (enam kanan), Ronald (enam kiri), Rohani (empat kanan) dan Stephen Rundi (lima kanan) merakam gambar kenangan bersama rombongan MAFI di pejabat Premier Sarawak, Wisma Bapa Malaysia. Gambar kredit Sarawakku

Menurut kenyataan itu, MAFI juga akan memberi perhatian terhadap permohonan Kerajaan Negeri untuk terus membantu memperkasakan infrastruktur pertanian di Sarawak, khususnya agromakanan, bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta menjalankan pengeluaran berskala besar.

Kunjungan hormat itu merupakan sebahagian dari aktiviti lawatan sulung Ronald ke Sarawak sejak memegang portfolio berkenaan, bermula dengan lawatan ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuching, sebelum mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri agromakanan di negeri ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Anak Utom, Timbalan Menteri MAFI Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Pembangunan Wilayah) Sarawak Maclaine Ben dan Pengerusi BERNAS Datuk Seri Rohani Karim turut hadir dalam kunjungan itu.

Ronald akan meneruskan programnya esok dengan melawat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, tinjauan ke tapak penanaman padi sawah berskala besar di Stumbin dan Tanjung Bijat di Sri Aman, kira-kira 190km dari sini.

Beliau akan meneruskan lawatannya di Sarawak Sabtu ini dengan mengadakan tinjauan mesra di Medan Niaga Satok di sini.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post