Dua maut tercampak, kereta langgar tebing bukit
Keadaan kereta yang remuk selepas melanggar tebing bukit di Kilometer 64 Jalan Kuching-Sri Aman di sini malam tadi. |
Mangsa yang maut adalah pemandu dikenali sebagai Ariffin Suffian, 24, berasal dari Kampung Hulu, Serian dan penumpang Mohamad Rezuan Bujang, 37, beralamat di Kampung Bunga Siantan, Serian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 10.35 malam melibatkan sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Serian.
"Apabila sampai di lokasi kemalangan kereta tersebut telah hilang kawalan semasa menuruni jalan raya yang berbukit lalu terbabas ke bahagian tepi sebelah kiri jalan dan melanggar tebing bukit.
"Akibat itu, pemandu dan penumpang telah tercampak keluar dari kenderaan yang mereka naiki," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kedua- dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan dari Hospital Daerah Serian yang tiba di lokasi.
Tambah Alexson, kenderaan yang terlibat telah ditahan dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.