Kemuka dokumen palsu projek di bawah MHBN, lelaki dipenjara sehari dan denda keseluruhan RM48,000


KOTA KINABALU-- Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM6,000 bagi setiap lapan pertuduhan terhadap seorang lelaki yang didakwa mengemukakan dokumen palsu tuntutan projek di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) berjumlah RM172,980 pada 2018.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Hassan Ho Abdullah, 36, yang bekerja sendiri, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Hassan didakwa atas lapan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan hukuman di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membuat lapan pertuduhan terhadap Hassan kerana dipercayai mengemukakan dokumen palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bagi empat bulan sekitar 2018 untuk tuntutan projek di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) berjumlah RM172,980.

Tuntutan projek itu dibuat ke atas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat, Sabah.

Bagi setiap pertuduhan itu, Hassan dijatuhkan hukuman penjara 1 hari dan denda RM6,000.00 bagi setiap pertuduhan (jumlah keseluruhan denda sebanyak RM48,000).

Selain itu, mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 32 bulan akan dikenakan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh dikatakan telah membayar denda tersebut.

Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh.
Next Post Previous Post