Denda RM1 juta jual minyak bersubsidi kepada pemandu asing


PUTRAJAYA—Individu atau pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak Petrol RON95 kepada warga asing bakal berdepan denda sehingga RM1 juta, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Jelasnya, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.

"Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," katanya dalam kenyataan yang diterima Borneo Network hari ini.

Nanta menegaskan, kementeriannya juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada semua orang dan pengusaha stesen minyak bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah.

"Tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya seramai 2,200 pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara terhadap mana-mana orang dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan.

Menurutnya lagi, bagi menambahkan keberkesanan penguatkuasaan ini, pegawai-pegawai penguat kuasa Kementerian akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam) dalam melaksanakan penguatkuasaan ini.

Ini katanya susulan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April 2022 yang mana negara menerima kemasukan kenderaan-kenderaan yang banyak dari pelbagai negara. 


Tambahnya, terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan negara.

Beliau memberitahu semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, katanya kenderaan-kenderaan tersebut dibenarkan untuk mengisi minyak RON 97 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Justeru, Nanta berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini
boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian.

"Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-279 4317, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP," ujarnya.

Next Post Previous Post