CIQS Biawak, PLBN Aruk dibuka mulai 14 April

Gambar kredit PLNB Aruk

LUNDU— Pintu sempadan negara di Sarawak melalui Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin Sarawak (CIQS) Biawak, Lundu dan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Aruk Kalimantan, Indonesia akan dibuka pada 14 April ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datu Ik Pahon Joyik selepas mempengerusikan mesyuarat sempena lawatan kerja ke CIQS Biawak Lundu di Pejabat Daerah Lundu di sini pada Jumaat.


Berikutan itu, beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) meminta semua agensi berkaitan perlu bersiap sedia untuk menerima pergerakan masuk daripada Indonesia.

Tambahnya, ini ekoran daripada Fasa Peralihan Ke Endemik negara yang turut menyaksikan Singapura dan Thailand sudah membenarkan kenderaan asing masuk ke negara mereka.


"Oleh itu, kita telah berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan kenderaan Perdagangan (LPKP), kriteria yang sedia ada, kalau dahulu pengangkutan awam memerlukan permit daripada LPKP dan sekiranya kenderaan persendirian diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pintu sempadan dan juga pembelian insurans adalah tidak berubah,” jelas Ik Pahon.

Tegas beliau lagi, meskipun pergerakan ini dibenarkan mengikut syarat agensi-agensi sedia ada samada JPJ, Imigresen dan Kastam tetapi semua mereka ini adalah wajib untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Warga Indonesia adalah diwajibkan untuk mematuhi empat syarat SOP COVID-19 ketika hendak memasuki negara ini melalui CIQS Biawak," ujarnya.


Menjelas syarat itu, katanya syarat pertama, sebelum warga Indonesia memasuki ke negara ini (Sarawak) mereka haruslah memuat turun, mendaftar MySejahtera dan mengaktifkan applikasi MySejahtera.

"Manakala syarat kedua mendaftar mendapatkan kad MyTravel dan ketiganya mereka harus menunjukkan keputusan ujian Covid-19.

"Sementara, syarat keempat mereka harus membeli insuran Covid-19 dengan nilai minima 20 ribu USD. Insuran ini penting untuk memastikan jika mereka dijangkiti Covid-19 semasa di negara kita dan ianya digunakan untuk mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta,” jelasnya.


Selepas mesyuarat itu, Ik Pahon bersama agensi terlibat kemudiannya mengadakan lawatan ke CIQS Biawak dan PLBN Aruk.

Kehadiran rombongan di kedua-dua pintu sempadan berkenaan telah disambut mesra oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia untuk Sarawak di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.

Dalam lawatan itu, Ik Pahon turut diberi penerangan oleh petugas di PLBN Aruk mengenai proses pemeriksaan terhadap warga Indonesia yang akan keluar untuk memasuki sempadan CIQS Biawak, Lundu.

Pada sama sama beliau turut mencadangkan kepada Raden Sigit supaya kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengadakan satu simulasi berkaitan proses keluar dan masuk di kedua-dua pintu sempadan tersebut sebelum 14 April.
Next Post Previous Post