Polis mengklasifikasikan kehilangan Eric sebagai kes bunuh


KUCHING— Kehilangan kanak-kanak berusia empat tahun di Bintawa pada 7 Mac lalu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah.

Jelasnya, perkembangan siasatan kes kehilangan Eric Chang Wei Jie kini diklasifikasikan semula dari Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Berdasarkan siasatan terkini, polis telah mengklasifikasi semula kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Ahsmon, dua suspek iaitu pasangan penjaga yang telah ditangkap akan diteruskan reman untuk siasatan lanjut.

"Usaha pencarian diperluaskan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5 Kuching Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan sungai Muara Tebas dan kawasan sekitar," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian memandangkan kes masih dalam siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial laporan tentang polis giat menjalankan aktiviti pencarian seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu di jeti Muara Tebas hari ini.

Media melaporkan tentang usaha pencarian jasad Eric Chang Wei Jie yang dijalankan sekitar jam 2 petang tadi oleh sepasukan polis diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa.

Sebelum ini, Eric dilaporkan hilang pada pagi 7 Mac lalu semasa dijaga pengasuhnya di Taman Riverview, Bintawa.

Selain pengasuh dan suaminya, ibu dan bapa kanak-kanak tersebut juga ditahan untuk siasatan.

Kesemua mereka ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah.
Next Post Previous Post