Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Ali Biju dicemari insiden gaduh

Gambar tangkap layar daripada video yang tular di media sosial

SARATOK— Polis mengesahkan insiden pergaduhan kecil melibatkan sekumpulan orang ramai ketika menyaksikan perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Ali Biju di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mordani Tanin yang mengesahkan insiden itu berkata, polis telah memanggil pihak penganjur dan menasihati mereka agar tidak mengulangi insiden yang sama.

"Polis telah mengambil tindakan dengan memanggil pihak penganjur dan menasihati mereka agar tidak mengulangi insiden yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Kejadian itu menjadi perhatian umum apabila video berdurasi 35 saat tular di media sosial Facebook pada 9.45 pagi hari ini.

Jelasnya, video itu memaparkan sekumpulan orang ramai sedang bergaduh ketika menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Hasil siasatan awal kejadian berlaku pada 11 Mac 2022 pada jam 5.59 petang yang mana telah berlaku pergaduhan kecil antara Penyokong Pasukan Jingga FC dengan Penolong Pengurus Pasukan Debak FC kerana tindakan tidak puas hati.

"Penolong Pengurus Debak FC yang melemparkan perkataan kurang enak didengar kepada pemain Jingga FC," katanya.

Rentetan daripada itu, dedah Mordani berlaku sedikit kekecohan antara Penyokong Jingga FC dengan Penolong Pengurus iaitu perbuatan tolak menolak di dalam padang.

"Berikutan insiden tersebut, keputusan telah diambil oleh pihak penganjur iaitu dengan mengeluarkan Penolong Pengurus Debak FC daripada kejohanan tersebut," ujarnya.

Tambahnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang laporan polis diterima.

Justeru tegasnya, polis mengingatkan agar masyarakat tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Next Post Previous Post