Muzium Budaya Borneo mampu jadi pusat menimba ilmu - Abang Jo

Tun Taib (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian Muzium Budaya Borneo (BCM). Turut kelihatan Abang Jo (ketiga kiri), Douglas Uggah (kiri) dan Abdul Karim (kanan). Kredit gambar Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING -- Muzium Budaya Borneo (BCM) yang baru dilancarkan mampu menjadi pusat menimba ilmu dalam usaha memahami kekayaan sejarah, budaya dan alam semula jadi di kepulauan itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah repositori bertaraf dunia, muzium itu juga mampu menarik ahli akademik dan penyelidik dari institusi tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau berkata objektif muzium itu yang memacu penyelidikan akan menggalakkan masyarakat menghargai kepentingan penyelidikan dan diserap dengan budaya penyelidikan.

Tun Taib menandatangani plug perasmian BCM sambil disaksikan dif-dif kenamaan lain. Kredit gambar Jabatan Penerangan Sarawak

“Seperti yang dapat dilihat di negara-negara maju, masyarakat yang telah berakar umbi dengan budaya penyelidikan dan minda yang dipacu oleh data akan memiliki kemahiran analisis lebih baik untuk memperbaiki setiap aspek kehidupan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi BCM di sini malam ini.

Muzium ikonik serba baharu itu mempamerkan lebih seribu artifak mewakili budaya dan sejarah Sarawak yang menakjubkan.

Pembinaan BCM bermula pada 2014 dan kos projek itu sebanyak RM323 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Tun Taib meneliti barangan kraf yang dipamerkan di aras 5. Kredit gambar Jabatan Penerangan Sarawak

Abang Johari juga berkata selain memelihara warisan, Jabatan Muzium Sarawak boleh memainkan peranan yang lebih besar terutama menyumbang ke arah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Sarawak dengan menggalakkan pekerjaan serta kesan ekonomi secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perkhidmatan.

Beliau berkata konsep menggunakan muzium sebagai rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi budaya adalah konsep yang telah dibuktikan serta membuahkan hasil sekali gus menjadi lebih popular di negara maju dan membangun.

Mengambil contoh Muzium Bilbao Guggenheim yang terkenal di Sepanyol dan dibuka pada 1997, Abang Johari berkata ia telah mencipta kesan mengagumkan sehingga menjadi persekitaran yang mampu merangsang pembangunan seluruh bandar.

“Dengan lokasi strategiknya di pusat bandar Kuching dan peningkatan kebolehcapaian melalui sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan datang, saya yakin BCM mampu mencipta kesan sampingan yang ingin diwujudkan,” katanya. 

Muzium itu akan dibuka kepada umum mulai 9 Mac depan.

Memetik Jabatan Penerangan Sarawak, perasmian Muzium Budaya Borneo tersebut disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pastinya melakar sejarah sebagai bangunan ikonik baharu kebanggaan Sarawak.

Bangunan yang berinspirasikan anyaman dan diilhamkan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak ini dibina bermula tahun 2014 dengan peruntukkan dibawah Kerajaan Sarawak bernilai RM323 juta yang merupakan kos pembangunan tertinggi muzium Sarawak sejak ianya dibina pada tahun 1891.

BCM merupakan sebahagian dari Pelan Rancangan Malaysia ke-11 juga merupakan Projek Kampus Muzium Sarawak.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.