Lima tahun hanya 198 permohonan kewarganegaraan diluluskan

Gambar kredit FB Baru Bian

KUCHING—Sebanyak 9,259 permohonan kewarganegaraan kanak-kanak bawah 18 tahun dari Sabah dan Sarawak namun hanya 198 diluluskan dari tahun 2017 sehingga 15 Februari lalu.

Memetik laporan Utusan Borneo, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian menegaskan, ia satu jumlah yang agak rendah dan menyedihkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Hanya 2.13 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima diluluskan dalam tempoh lima tahun, KDN hanya mampu meluluskan 40 permohonan setahun, bermakna daripada setiap 100 permohonan, hanya dua yang menerima berita positif. Ini menyedihkan dan keterlaluan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendedahkan dalam persidangan Parlimen pada Isnin, hanya 198 permohonan daripada 9,259 permohonan kewarganegaraan kanak-kanak bawah 18 tahun dari Sabah dan Sarawak diluluskan dari 2017 hingga 15 Februari lalu.

Baru turut mempersoalkan sebab kelulusan rendah yang keterlaluan kerana ia menghalang kanak-kanak daripada kehidupan normal serta menerima pendidikan penjagaan kesihatan dan pekerjaan pada masa depan.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya kerana Menteri Dalam Negeri tidak menjawab soalannya berhubung permohonan kewarganegaraan daripada bekas pengawal sempadan di sini yang kini sudah uzur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'kelalan itu menambah, tidak alasan untuk membiarkan penantian yang lama dan menyeksakan ini yang dikenakan ke atas lelaki yang telah berkhidmat untuk melindungi negara.

“Adalah membingungkan bahawa kerajaan tidak boleh melakukan satu perkara mudah ini untuk lelaki yang menghampiri penghujung usia mereka," katanya.

Katanya, ia mempersendakan konsep Keluarga Malaysia yang dilaung-laungkan kerajaan semasa.

Selain itu, Baru yang kesal berkata, tidak hairanlah ramai rakyat Sarawak mahu mengambil semula autonomi untuk menentukan status kewarganegaraan bagi rakyatnya sendiri, selain pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Tegasnya, rakyat bagi kementerian persekutuan nampaknya begitu jauh daripada realiti di lapangan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang pendidikan yang mana Menteri Pendidikan dalam menjawab soalannya mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dinafikan bersekolah menjelaskan ia adalah kerana arahan eksekutif.

Jelasnya, tidak ada sebab mengapa arahan itu tidak boleh diubah untuk membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan bersekolah.

"Kerajaan, dengan tindakan dalam kes-kes ini, merampas hak asasi rakyat kita untuk kewarganegaraan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Sehubungan itu, Baru menyeru agar mereka prihatin terhadap nilai kemanusiaan yang sama terhadap kanak-kanak tanpa kerakyatan di sini, termasuk bekas pengawal sempadan seperti yang ditunjukkan Menteri Dalam Negeri untuk warga asing di Sabah.
Next Post Previous Post