Geng Sara curi tong sampah roro tumpas

Beh Eng Lai menunjukkan tong sampah RORO dicuri dua suspek di sekitar daerah Sentul. Gambar kredit Kosmo Online

KUALA LUMPUR— Geng Sara, pencuri tong sampah 'Roll On Roll Off' (RORO) yang bergiat aktif di sekitar Sentul sejak setahun lalu, akhirnya tumpas selepas polis menahan dua lelaki warga tempatan di Bandar Baru Sentul dan Kampung Laksamana, Batu Caves, di sini, pada 11 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah menerima laporan kehilangan tong sampah roro di Taman Kok Lian, di sini pada 19 Feb lepas.

Beliau susulan daripada penahanan itu, pihak turut merampas lima tong sampah roro dengan anggaran rampasan bernilai RM40,000 dan sebuah lori yang digunakan untuk menarik tong sampah roro terbabit.

“Modus operandi kumpulan itu adalah mencuri tong sampah roro yang diletakkan di hadapan deretan kedai dan di sekitar Projek Perumahan Rakyat di daerah Sentul.

“Suspek akan mewarnakan semula tong sampah tersebut atau memadamkan nama syarikat yang tertera di permukaan tong sebelum disewakan kembali bagi mendapatkan hasil yang lumayan dengan anggaran sewaan sehari sebanyak RM200 hingga RM400,” katanya dalam sidang media khas di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

Beh berkata semakan rekod mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 35 dan 40 tahun itu, bekerja sebagai kontraktor dan pemandu lori mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berikutan penahanan kesemua suspek, ia telah membantu polis dalam menyelesaikan lima kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post