Konflik Ukraine-Rusia: Kesan baik dan buruknya kepada komoditi

Gambar kredit Unsplash

KUALA LUMPUR—Konflik yang berterusan antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan harga komoditi di seluruh dunia melonjak di tengah-tengah kebimbangan dan reaksi mendadak terhadap kemungkinan kejatuhan dari segi bekalan kerana kedua-dua negara merupakan pengeluar utama, antara lain, minyak bunga matahari, gandum dan jagung.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Rusia dan Ukraine secara bersama menyumbang 78 peratus, 29 peratus dan 19 peratus - masing-masing untuk minyak bunga matahari, gandum dan jagung daripada anggaran perdagangan global 2021/22.

Justeru, apabila perang meletus, ia mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku kekurangan bukan sahaja minyak masak global tetapi juga produk yang berkaitan dengan industri seperti sabun, bahan api bio dan bekalan makanan lain.
 
Harga minyak sayuran melambung
 
Setakat 8 Mac, harga minyak bunga matahari adalah antara US$2,900-US$3,000 setiap tan (US$1=RM4.19) di rantau Kesatuan Eropah.

Keadaan cuaca dan faktor berkaitan COVID-19 telah pun menyebabkan gangguan yang melampau, dan perang melanda tatkala keadaan dunia dilihat semakin pulih, dengan vaksinasi global mendorong kembali kepada keadaan normal.

“Kita telah pun mengalami kerugian pengeluaran global yang teruk dalam tempoh dua tahun lalu disebabkan oleh cuaca dan faktor berkaitan COVID-19, dan kini perang Rusia-Ukraine pula telah mencipta satu lagi gangguan mendadak dalam harga minyak bunga matahari,” kata Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH (Minyak Dunia) Thomas Mielke.

Beliau berkata terdapat kekurangan yang meruncing dan pengguna mungkin akan kehabisan bekalan tidak lama lagi.

Membandingkan harga minyak sayuran utama setakat 4 Mac, 2022, Mielke berkata harga minyak kacang soya meningkat kepada US$1,773 satu tan tahun ke tahun daripada US$1,147 satu tan, minyak bunga matahari mengukuh kepada kepada US$2,100 satu tan tahun ke tahun daripada US$1,500 satu tan manakala minyak sawit lebih tinggi kepada US$1,760 satu tan tahun ke tahun daripada US$1,010 satu tan.

Kira-kira 86 peratus daripada minyak sawit dunia kini dihasilkan di Indonesia dan Malaysia.

Di pasaran fizikal pula, harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat kepada RM8,400 satu tan manakala kontrak niaga hadapan MSM (FCPO) bulan semerta melonjak kepada RM8,757 satu tan.

Pada masa sama, harga kontrak FCPO bulan ketiga mencecah RM7,000 satu tan tahun ini buat kali pertama.

Kenaikan harga FCPO juga disebabkan oleh pengumuman Indonesia bahawa ia akan menaikkan obligasi pasaran domestik ke atas minyak sawit sebanyak 10 mata peratusan kepada 30 peratus (pengeluar mesti mengetepikan 30 peratus penghantaran MSM untuk pembeli tempatan).

Langkah Jakarta untuk menyekat eksport minyak sawit mulai 10 Mac dan seterusnya adalah untuk mengekang lonjakan harga minyak masak domestik.

“Permintaan untuk minyak sawit Malaysia mungkin berkurangan apabila Indonesia mula mengeksport semula dalam jumlah yang tinggi. Ini boleh berlaku dalam sekelip mata, sama seperti perang Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga tanaman menjadi lebih tinggi baru-baru ini," kata pengerusi LMC International Ltd Dr James Fry.
 
Kebaikan atau keburukan
 
Dalam pada itu, lebih daripada 250,000 pekebun kecil Malaysia boleh menikmati detik baik ini untuk seketika sebelum kebimbangan terhadap kos meningkat dan margin keuntungan menjadi kecil apabila bekalan baja turut terganggu akibat konflik kerana kedua-dua negara juga pengeksport baja utama.

“Rusia telah mengebom sebuah kilang besar dan eksport serantau disekat; oleh itu kapasiti baja telah musnah.
Rusia, Belarus dan Ukraine adalah pengeksport baja utama dan ini akan membawa kesan besar dari segi kos pengeluaran dan ketersediaan (baja) untuk tanaman,” kata Fry kepada Bernama.

Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa konflik Moscow-Kyiv yang berpanjangan boleh menyebabkan kemelesetan dan seterusnya mengurangkan permintaan global untuk makanan.

“Ia akan berlaku perlahan-lahan dan sehingga itu, orang ramai akan cuba mengekalkan corak pemakanan mereka dan mungkin mengambil masa sebelum mereka mengurangkan makan di luar, dan malah memilih untuk menggunakan semula minyak masak untuk menggoreng,” katanya.

Walaupun penurunan untuk permintaan makanan boleh menjadi peralihan dan berjangka pendek, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk harga baja dan petrol, jelasnya.

Di Malaysia, kerajaan memberi subsidi kepada harga minyak masak dan petrol.

Buat masa ini, Fry berkata harga MSM mungkin kekal lebih tinggi sedikit untuk tempoh yang agak lama.

“Tanaman itu akan diniagakan antara US$1,700 dan AS$2,100 setiap tan sehingga Julai manakala pada suku ketiga dan suku keempat, ia akan didagangkan antara US$1,600 dan US$1,800 setiap tan,” unjur beliau.

Harga mungkin semakin mengecil jika masalah buruh di Malaysia dapat diselesaikan, tetapi itu tidak mungkin berlaku buat masa ini, katanya sambil menambah: “Apabila berlakunya kekurangan bekalan, harga adalah satu-satunya mekanisme untuk memastikan permintaan tidak melebihi bekalan.”
 
Kesan di peringkat akar umbi
 
Menurut Niam Saw Yok, pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 30 hektar kawasan kelapa sawit,  beliau menjangkakan harga MSM kekal pada harga tinggi semasa dan berkongsi pandangan sama dengan Fry mengenai harga baja yang semakin meningkat.

“Harga bagi 50 kilogram (kg) baja import adalah sekitar RM180 sekarang. Sebelum ini RM120. Tetapi sekarang, saya perlu mencari jenama tempatan yang berharga sekitar RM100-RM120 setiap 50 kg.

“Memandangkan saya mendapat manfaat daripada harga tanaman yang tinggi, saya masih boleh menguruskan kos dengan menggunakan jenama baja tempatan, yang sama baiknya dengan yang diimport,” katanya.

Turut menyokong pendapat Fry ialah Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang menyatakan harga barangan telah pun meningkat 15-20 peratus dan bukan sekadar minyak masak.

“Harga tepung juga semakin naik. Berbeza dengan minyak masak yang kita keluarkan (tempatan) dan diberi subsidi, kita import tepung dan ia tidak disubsidi, dan kita boleh jangka harga tepung akan naik lagi dalam dua minggu akan datang.

“Jadi harga roti canai dan kuih raya kita akan naik juga,” katanya.

Namun begitu, katanya, Mydin iaitu rantaian runcit dan pasar raya besar halal terbesar dalam negara telah merancang terlebih dahulu pembelian dan kosnya, sekali gus dapat mengurangkan kesannya.

Tetapi bagi perusahaan kecil, mereka mungkin menghadapi masalah kos.

Pengasas EppelBakesByAmi Hamimah Hamiz Mohamed berkata dia pada mulanya menyerap kos tambahan, tetapi tidak mampu lagi berbuat demikian dan mungkin perlu menyalurkannya kepada pengguna.

Cara lain untuk menangani situasi ini ialah dengan memilih bahan peringkat kedua atau ketiga, yang bermaksud perlu berdepan dengan tahap kualitinya.

“Tetapi saya tidak mahu mempertaruhkan kualiti kek dan kuih saya. Jadi, saya mungkin terpaksa menaikkan harga kerana saya tidak lagi dapat menyerap kos dan saya khuatir pesanan untuk kuih-muih/kek saya akan berkurangan tahun ini," kata beliau.

Pada masa ini, kerajaan memperuntukkan subsidi untuk 720,000 tan minyak masak.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api dan minyak masak supaya dapat dilaksanakan secara lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Menteri itu berkata berikutan konflik antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah meningkat secara mendadak kepada lebih US$100 setong -- paras tertinggi sejak 2014 -- dan jika ia berterusan, jumlah subsidi untuk keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2021.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post