Ketahui rahsia dan khasiat mandi lumpur di Lumpur Bebuak di Kampung Meritam, Limbang


LIMBANG — Lumpur Bebuak Kampung Meritam yang terletak sekitar 40 kilometer dari Limbang, satu lagi lokasi pelancongan di utara Sarawak yang sangat popular kerana keunikan dan khasiatnya tersendiri.

Bukan saja dikenali kerana strukturnya yang likat dan suam, lumpur bebuak diya menjadi terapi dan merawat penyakit kulit walaupun tiada kajian saintifik dilakukan.

Kawah lumpur di kawasan seluas lebih empat hektar di kampung tersebut kini mampu meletuskan kira-kira 40 letusan lumpur bebuak dalam satu masa berbanding pada awal kemunculannya.


Lumpur Bebuak kini merupakan destinasi wajib dikunjungi dalam kalangan pengunjung bukan saja terkenal dengan khasiat dan penawarnya tersendiri, tetapi keunikan dan keindahannya antara destinasi pelancongan utama di Limbang.

Dengan rasanya agak masin dan teksturnya yang licin lumpur bebuak sesuai untuk dilumur satu badan sebagai ‘masker’, selain menjadi terapi untuk menenangkan minda.


Pada masa ini, terdapat lebih 40 kawah lumpur yang aktif pelbagai saiz antara satu ke dua meter berada di tapak lumpur bebuak.

Bagi kawah bersaiz besar, ia mampu menempatkan 10 hingga 20 individu dalam satu masa.

Lumpur Bebuak Kampung Meritam antara destinasi pelancongan luar bandar yang mengamit kehadiran pengunjung luar dan dalam untuk menyaksikan sendiri fenomena tanahnya sentiasa lecak tidak mengira musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau.

Tanah tersebut boleh membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.


Sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib itu sebagai Lumpur Bebuak.

Seorang pengunjung Roslan Ismail 50-an menyifatkan lumpur bebuak mempunyai khasiat, mujarab dan baik untuk kesihatan.

Jelasnya selain memberi kesegaran badan, lumpur bebuak dapat mengubati gatal-gatal kulit yang dihidap anaknya Mohd Eddyrian Roslan 12, sejak kecil.


“Selepas mandi lumpur, gatal-gatal kulit terutama dibahagian kaki anak saya sembuh, selain merawat penyakit kulit dan alergik,”katanya kepada Borneo Network hari ini.

Menurutnya jika ada masa terluang pada hujung minggu dan cuti persekolahan beliau sanggup menunggang motosikal bersama anaknya sejauh 40 kilometer semata-mata menunaikan ‘hajat’ untuk mandi lumpur.

Sementara itu Mohd Eddyrian turut teruja setiap kali mandi lumpur.


“Badan terasa terapung seperti berada di laut mati, sejuknya lain macam, badan pun sihat. Memang seronok mandi lumpur ni,badan pun terasa segar dan sihat.

“Lumpur itu tidak berdasar dan apabila berada dalam kawah, pengunjung seakan-akan terapung seperti berada di laut mati,” katanya.

Mohd Eddyrian menambah, mandi lumpur merupakan acara wajib bagi kanak-kanak di kampung itu terutama semasa cuti persekolahan.


Sementara itu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, hampir RM8 juta dibelanjakan kerajaan negeri dan persekutuan untuk membangunkan kawasan pelancongan itu.

Antara kemudahan yang telah disediakan di kawasan Lumpur Bebuak pada masa ini ialah tandas, tempat mandi, surau, titi pejalan kaki, pondok, kerusi dan meja simen, tempat letak kenderaan dan kemudahan lain.


“Lumpur Bebuak mempunyai potensi begitu besar untuk dimajukan sebagai destinasi wajib dikunjungi dan usaha terus dilaksanakan untuk menaiktaraf kawasan ini dengan dilengkapi kemudahan dan prasana mencukupi,” katanya.

“Jika hujung minggu Sabtu dan Ahad atau cuti persekolahan kawasan ini seperti pesta lumpur kerana dipenuhi kanak-kanak dan pengunjung yang merasai ‘kesejukan’ mandi lumpur, ”katanya lagi.
Next Post Previous Post