Kes COVID-19 kategori kedua di Sarawak tertinggi, tiga kematian

Gambar hiasan

KUCHING: Kes positif baharu COVID-19 kategori kedua (gejala ringan) menunjukkan jumlah tertinggi di Sarawak iaitu 913 kes daripada 1,252 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, manakala 334 kes kategori satu (tiada gejala), satu kes kategori tiga (jangkitan paru-paru), dua kes kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan dua kes kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

"Dengan jumlah kes positif baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sarawak sebanyak 291,459," katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBNS memaklumkan Kuching kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 408 kes diikuti Miri (202), Bintulu (130), Sibu (91), Serian (75), Samarahan (60), Sarikei 38), Bau (32), Sri Aman (24), Mukah (20), Betong (15), Subis (14), Limbang (13), Tebedu (13), Kabong (12) dan Saratok (11).

Manakala daerah lain, Tanjung Manis (9) dan Matu (8), Pakan (8), Lundu (8), Kanowit (8), Simunjan (7), Dalat (7), Asajaya (7), Marudi (5), Pusa (4), Lubok Antu (4), Meradong (4), Julau (3), Kapit (3), Lawas (2), Telang Usan (2), Beluru (1), Tatau (1) dan Daro (1).

Sementara itu, JPBNS memberitahu, tiga kes kematian baharu COVID-19 pula dikategori sebagai kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) yang direkodkan dari 18 hingga 21 Mac lalu.

Jelasnya dua daripadanya direkodkan di Kuching iaitu melibatkan lelaki berumur 78 dan 79 tahun yang mempunyai komorbid.

Manakala satu di Sibu melibatkan lelaki berumur 50 tahun dan tiada latar belakang penyakit diketahui.

Jawatankuasa itu turut melaporkan jumlah kluster COVID-19 yang masih aktif di Sarawak setakat ini kekal enam apabila tiada kluster baharu diisytiharkan.
Next Post Previous Post