Polis tahan lelaki, rampas 3.2kg ekstasi dalam serbuk minuman berperisa


MIRI— Taktik seorang lelaki mengedar dadah disyaki serbuk ekstasi dengan menggunakan paket serbuk minuman perisa mangga yang dicampur dadah itu terbongkar apabila dia ditahan polis di hadapan sebuah premis dobi di Jalan Sim Cheng Kay di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, suspek ditahan pada 8.30 malam dan susulan penahanan itu polis menemukan menemukan 10 paket serbuk minuman seberat 300g.

“Kemudian, dipandu arah oleh suspek sendiri, anggota membuat pemeriksaan di sebuah bilik hotel murah di Jalan Sim Cheng Kay dan menjumpai 90 paket serbuk minuman dipercayai mengandungi ekstasi.

“Jumlah keseluruhan rampasan ialah 100 paket serbuk minuman seberat 3.2 kilogram yang dianggarkan bernilai RM 60,000. Polis percaya dadah ini untuk edaran ke pusat hiburan sekitar Miri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berhubung kesalahan penggunaan dadah.

Ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif.

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Next Post Previous Post