Petronas, Shell kongsi penerokaan di Sabah dan Sarawak

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan (empat dari kiri) serta Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan (empat dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC). Gambar kredit Shell Malaysia 

KUALA LUMPUR— Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) untuk lima blok penerokaan luar pesisir, membolehkan firma minyak dan gas itu menarik komitmen modal sebanyak kira-kira RM600 juta dalam aktiviti cari gali di Malaysia.

Ini akan mencerminkan daya tarikan potensi sumber hidrokarbon negara, kata Naib Presiden Kanan  Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas Mohamed Firouz Asnan dalam satu kenyataan selepas menandatangani PSC bagi pihak syarikat.

“Pengurangan dalam penggerudian penerokaan global sejak dua tahun lalu telah memberi tekanan kepada industri untuk menyelesaikan kekurangan bekalan semasa. Memandangkan ekonomi global telah mula pulih selepas pandemik, industri perlu memastikan aktiviti penerokaan terus mengekalkan pengeluaran.

"Petronas komited untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi kami dengan teknologi seperti penangkapan dan penyimpanan karbon," katanya sambil menambah Petronas berharap untuk bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk menyediakan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran.

Antara blok penerokaan luar pesisir termasuk SB412, 2W dan X di luar pantai Sabah dan SK439/SK440 di luar pantai Sarawak.

Blok SB412 di Sabah ditandatangani antara Petronas, PTTEP HK Offshore Limited dan SapuraOMV Upstream (M) Sdn Bhd, manakala PSC untuk Blok ultra-air dalam  2W dan X dimeterai antara Petronas, Sabah Shell Petroleum Company Ltd., Shell Sabah Selatan Sdn Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

Majlis menandatangani PSC di bawah Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

MBR adalah acara bidaan tahunan Malaysia yang dianjurkan MPM, menawarkan kepada pelabur berpotensi pelbagai peluang termasuk blok eksplorasi, sumber ditemui hinggalah kepada aset hayat akhir.

MBR 2022 bertemakan "Tenaga Berfaedah Anda Di Sini", dilancarkan pada 27 Januari, menawarkan 14 blok penerokaan, enam kelompok Peluang Sumber Ditemui dan satu kelompok Aset Hayat Akhir.

Syarikat minyak dan gas milik negara itu, melalui MPM, menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti petroleum huluan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post