COVID-19 kian meningkat di Sarawak dengan 1,357 kes, satu kematian libatkan warga emas


KUCHING-- Kes COVID-19 di Sarawak kian meningkat dengan 1,357 kes baharu dengan satu kematian melibatkan seorang warga emas di Kapit direkodkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah itu, 1,351 kes kategori 1 dan 2 manakala selebihnya iaitu enam kes kategori 3, 4 dan 5 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 262,417 kes.

"Kematian yang direkodkan berlaku pada 27 Februari 2022 melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun di Kapit yang mana jenazahnya telah dibawa ke Hospital Kapit. Mangsa mempunyai Ko-morbid iaitu darah tinggi, kencing manis dan penyakit paru-paru obstruktif kronik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut jumlah kes itu, JPBNS memaklumkan kategori 1 (Tiada Gejala) 612 kes, kategori 2 (Gejala Ringan) 739 kes, kategori 3 (Jangkitan Paru-paru) 2 kes, kategori 4 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) 1 kes dan kategori 5 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan
Ventilator) 3 kes.

Pecahan kes mengikut daerah pula jelasnya, Kuching kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 436 kes, diikuti Miri (270) , Sibu (194), Bintulu (105), Limbang (45), Serian (42), Bau (34), Sri Aman (33), Sarikei (32), Samarahan (23), Kapit (18), Saratok (15), Meradong (14), Belaga (12), Tanjung Manis (10) dan Kanowit (10).

Manakala daerah lain merekodkan kes kurang daripada 10 kes.

Dalam pada itu, JPBNS memberitahu tiada kluster baharu dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif kekal tiga.
Next Post Previous Post