Lelaki Hadapi Dua Pertuduhan Membunuh
SIBU-- Seorang lelaki berusia 31 tahun yang menghadapi dua
pertuduhan membunuh di Matu Daro bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Sibu
hari ini.
Kes terhadap Ahmad Robin akan dibicarakan pada hari Jumaat
ini selepas dipindahkan dari Mahkamah Majistret di Sarikei.
Tiada pertuduhan dibacakan terhadapnya semasa sebutan kes
hari ini.
Difahamkan, perbicaraan akan dimulakan dengan suami
kedua-dua mangsa memberi keterangan.
Pada 25 Februari Ahmad menghadapi dua pertuduhan membunuh
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sarikei.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit
kesalahan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan
kematian Pandang Sarang warga Indonesia sekitar jam 11 pagi di ladang kelapa
sawit di Daro pada 11 Februari 2022.
Pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh Muli Laha, juga warga
Indonesia, pada tarikh sama di ladang kelapa sawit lain di Daro pada pukul 11
malam.
Difahamkan mayat ditemui di RC Dermaga Sungai Samong di Daro
pada 12 Februari dan 14 Februari.
Ahmad ditahan di Jalan Sentral Daro pada 3.30 petang pada 12
Februari.