COVID-19: 13 kes baharu kategori tiga hingga lima, tiga kematian

Gambar hiasan kredit Unsplash

KUCHING—Hanya 13 daripada 1,555 kes positif baharu COVID-19 di Sarawak dikategorikan di bawah kategori tiga hingga lima, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jelasnya, daripada 13 kes itu, kategori tiga (Jangkitan Paru-paru) enam kes, kategori empat (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) empat kes dan kategori lima (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Ventilator) tiga kes.

Sementara kategori satu (Tiada Gejala) 564 kes dan kategori dua (Gejala Ringan) 978 kes.

"Dengan jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negeri ini meningkat kepada 283,018 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, JPBNS memaklumkan tiga kematian direkodkan iaitu dua kematian pada 12 Mac sementara satu kematian pada 15 Mac.

"Kesemua kematian adalah di Sibu melibatkan semua wanita berusia antara 77 hingga 91 tahun.

"Ketiga-tiga kes kematian mempunyai latar belakang komorbid," katanya.

Mengulas lanjut kes positif, JPBNS memberitahu, Kuching kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 660 kes diikuti Miri (206), Bintulu (128), Sibu (116), Serian (83), Samarahan (71), Bau (50), Sarikei (29), Limbang (24), Sri Aman (19), Betong (16), Asajaya (13), Tebedu dan Tanjung Manis masing-masing 12 kes, Saratok dan Matu masing-masing 10 kes.

Manakala daerah lain merekodkan kes di bawah 10 kecuali Selangau, Julau, Telang Usan dan Song yang merekodkan tiada kes baharu.

Jawatankuasa itu memaklumkan tiada kluster baharu diisytiharkan hari ini yang menyaksikan kluster aktif kekal lima.

Namun, satu kluster merekodkan pertambahan iaitu Kluster DTI Semuja 3, Serian iaitu sebanyak empat kes.
Next Post Previous Post