Warga emas ditahan simpan, edar rokok seludup

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong (tengah) menunjukkan pelbagai jenis rokok tanpa cukai semasa sidang media hari ini. Gambar kredit FB MAMU

GEORGE TOWN—Polis menahan seorang lelaki warga emas dan merampas rokok tidak bercukai bernilai RM275,000 dalam serbuan di Jalan Bagan Serai Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam Op Kontraban yang dijalankan oleh pasukan bahagian siasatan jenayah dan narkotik pada 7 malam Selasa lepas, polis menahan lelaki tempatan berusia 62 tahun itu dalam sebuah rumah di Jalan Bagan Serai, Jelutong di sini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki 1,984 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai.

"Kesemua barangan dirampas di ruang bahagian tengah rumah dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya kepada pemberita hari ini.

Soffian berkata siasatan lanjut mendapati suspek bekerja sebagai penghantar bekalan rokok kepada pelanggan sejak lima bulan lepas dan merupakan penghuni itu yang dijadikan stor simpanan rokok tidak bercukai.

Beliau berkata rokok yang dirampas akan dirujuk ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk semakan lanjut beerhubung ketulenan pelekat cukai dan jumlah cukai yang tidak dibayar mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Lelaki itu ditahan reman di bawah Seksyen 116C (2) Akta Kastam 1967 bermula semalam hingga 21 Mac untuk siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post