Tiada kad pengenalan,pelajar pintar ‘kempunan’sambung belajar ke IPTA
LIMBANG: Impian pelajar pintar ini untuk menyambung pelajaran dan
bercita-cita menjadi jurutera bakal lebur kerana tidak mempunyai kad pengenalan
walaupun lahir di Malaysia dan bapanya merupakan warganegara tempatan.
Lebih menyedihkan Nicole Marsia Mohamad Peri bakal berusia
18 tahun Ogos ini sekali gus
membantutkan peluangnya untuk
melanjutkan pelajarannya ke Instiusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
seperti pelajar yang lain.
Beliau yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) melahirkan kebimbangan kerana tidak dapat meneruskan pengajian
ke IPTA sebaik SPM berakhir nanti kerana
ketiadaan dokumen penting itu.
“Permohonan pendaftaran
ke IPTA sudah dibuka secara dalam talian, namun saya tidak dapat memohon
kerana tiada IC.
“Peluang mendapatkan biasiswa belajar dari Tingkatan Satu
juga terlepas kerana masalah sama, pergerakan ke luar Limbang tidak dapat
dilakukan,malah saya juga tidak dapat menyertai aktiviti sekolah khusus lawatan
sambil belajar ke Sabah dan Labuan,”katanya kepada Borneo Network hari ini.
Nicole Marsia pernah mendapat keputusan 4A dalam percubaan
SPM tahun lepas dan memperolehi keputusan cemerlang dalam pelajaran sejak di
bangku sekolah rendah lagi.
Kebimbangan itu turut diluahkan ayahnya Muhamad Peri Lasong berbangsa Lun
Bawang.
Jelasnya, beliau dan isterinya berbangsa Filipina berkahwin
pada 2003 dan mempunyai surat kahwin sah
mengikut adat istiadat Lun Bawang sebelum beliau memeluk Islam.
“Sejak anak saya dilahirkan pada 2004,saya menjadi penjamin
kepada pasport isteri saya yang dicop
setiap bulan dan mengambil keputusan
memeluk Islam pada 2017 bagi
memudahkan surat daftar nikah kami dibuat dan mendaftar surat beranak
anak kami,”katanya.
Muhamad menjelaskan beliau dan isteri sudah berurusan dengan
pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN)
diPutrajaya dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kuching pada 2019.
Katanya lagi mereka juga menerima maklum balas daripada KDN
di Putrajaya melalui surat yang dihantar pada September 2020 dan meminta untuk
menukar surat beranak anak mereka dengan memasukkan nama ayahnya.
“Surat beranak
pertama yang dikeluarkan pada 2004
untuk anak saya tertera bukan warganegara, meskipun kami mempunyai surat kahwin sah mengikut adat istiadat Lun
Bawang”katanya lagi.
Menurutnya anaknya
baharu mempunyai surat beranak pada tahun lepas, tetapi tertera bukan
warganegara.
“Malah semua dokumen yang diminta pihak KDN di Putrajaya
sudah dihantar tahun lepas, termasuk membelanjakan lebih RM3,000 urusan ulang
alik ke Putrajaya bagi urusan penghantaran semua dokumen mendapatkan kad
pengenalan anak kami,”tambahnya.
Bagaimanapun katanya sehingga hari ini beliau dan isteri
belum menerima sebarang maklum balas dan jawapan untuk mendapatkan kad
pengenalan meskipun semua dokumen sudah dihantar seperti yang diminta pihak terbabit.
Jelasnya lagi anaknya Nicole Marsia bakal berusia 18 tahun
Ogos ini dan impian untuk memiliki kad pengenalan akan menjadi lebih sukar bagi
rakyat Malaysia yang sudah mencecah umur 18 tahun ke atas.
“Kami merayu pihak kerajaan negeri dan persekutuan melalui
KDN untuk membantu mempercepatkan proses untuk saya mendapatkan kad pengenalan.
“Ketiadaan kad pengenalan akan memberi kesan dan memusnahkan
impiannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekaligus
membantu mengapai impiannya untuk menjadi seorang jurutera suatu hari
nanti,”ujarnya.