Perhalusi semula istilah 'Premier' - Awang Sariyan


PUTRAJAYA: Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr Awang Sariyan mahu kerajaan Sarawak memperhalusi semula penggunaan istilah 'Premier'.

Beliau memberitahu, keputusan kerajaan Sarawak mahu menggantikan istilah jawatan Ketua Menteri kepada Premier perlu diperhalusi sedalam-dalamnya.

"Ini kerana ia (istilah Premier) memberi banyak implikasi jangka panjang.

"Salah satu implikasinya ialah terjejas konsep federalisme yang jadi asas Persekutuan Malaysia dan ini perlu diteliti dengan baik,” katanya dipetik menerusi laporan Utusan Malaysia pada Isnin.

Pada 15 Februari lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan 2022) pada 15 Februari lalu, bagi menggantikan gelaran Ketua Menteri kepada 'Premier'.

Langkah tersebut dilihat mencetus kritikan pelbagai pihak walaupun kerajaan Sarawak menjelaskan istilah 'Premier' juga diamalkan banyak negara Komanwel Britain bagi jawatan pemimpin wilayah tertentu.

Malah, baru-baru ini, Presiden Persatuan Genealogi Malaysia, Megat Iskandar Megat Zaharuddin turut berpendapat istilah tepat 'Premier' dalam bahasa Melayu sebenarnya Bendahara.

Jelas Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, ramai rakannya di Sarawak ada menghubunginya kerana terkejut.

“Saya pun terperanjat kerana pihak DBP Wilayah Sarawak tidak dimaklumkan namun setakat ini belum ada ketetapan rasmi istilah itu dalam kamus bagi merujuk perdana menteri,” jelasnya.

Selain itu, katanya perkataan berkenaan, jika dilihat dari sudut sejarah, berasal daripada bahasa Perancis yang bererti pertama, ulung atau utama setelah diubah suai ejaan istilah kuno Latin iaitu primarius.

Dalam pada itu, berdasarkan semakan menerusi Kamus Dewan Perdana terbitan DBP, tiada perkataan premier dalam kamus bahasa Melayu terbesar di dunia itu daripada 120,000 entri.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, jika Sarawak boleh ada ketua kerajaan dengan istilahnya itu setara taraf Perdana Menteri, maka jirannya, Sabah pun berhak melakukan perkara yang sama.

Soalnya lagi, isu asasnya, adakah istilah Ketua Menteri selama ini ada kekurangan pelaksanaannya dalam Perlembagaan berkait dengan 20 peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan Parlimen akhir tahun lalu tidak menyentuh jawatan 'Premier' secara spesifik.

Oleh itu, beliau menyarankan agar perbincangan wajar diadakan untuk memperhalusinya dengan berdasarkan peruntukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

"Jika ada sekali pun keperluan pertukaran nama ketua kerajaan sebagai rentetan pemurnian MA63, konsep berkaitan kuasa dan bidang tugas itu perlu diperincikan lebih jelas.

“Maka istilah dan konsep yang setaraf ‘Perdana Menteri’ perlu dielakkan kerana ia dibimbangi boleh tercetus persepsi konon ada jawatan Perdana Menteri di peringkat negeri,” ujarnya.

Kata Awang, langkah pencerahan istilah itu amat perlu demi memelihara keharmonian negara dan menjaga sensitiviti negeri-negeri lain dalam ruang lingkup persekutuan.
Next Post Previous Post