Kemasukan percuma selama 3 bulan ke Muzium Budaya Borneo bermula 9 Mac ini
Muzium Budaya Borneo dibuka kepada orang awam mulai 9 Mac ini dan masuk adalah percuma selama tiga bulan. |
Apa yang lebih menarik, muzium tersebut menawarkan kemasukkan secara percuma kepada pengunjung selama tiga bulan pertama pembukaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, muzium yang akan menjadi tarikan pelancong ke Sarawak itu akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum.
"Orang ramai yang ingin berkunjung ke muzium digalakkan mendaftar secara atas talian bermula Mac ini kerana hanya 500 pengunjung sahaja dibenarkan berada di dalam bangunan dalam satu masa," katanya pada sidang media Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Kebudayaan Borneo di sini, petang tadi.
Mengulas mengenai majlis perasmian muzium itu nanti, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, perasmian muzium akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada jam 8 malam.
Jelas beliau lagi, acara pada hari perasmian dimulakan di perkarangan muzium dengan ucapan akan disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan beliau sendiri.
"Acara seterusnya akan dilanjutkan dengan pertunjukkan persembahan video yang akan dipancarkan ke arah bangunan muzium bagi menunjukkan sejarah Sarawak dari mula sampai sekarang dengan kehadiran tetamu jemputan dihadkan kepada 300 orang sahaja,” katanya.
Sementara itu katanya, muzium bertaraf dunia dilengkapi kemudahan teknologi abad ke-21 itu mempunyai ruang pameran interaktif berkeluasan 6,638 meter persegi dan menampilkan tiga tema berbeza di setiap tingkat.
Tambah beliau lagi, muzium ini juga berbeza dengan muzium lama kerana di muzium baharu ini akan mempamerkan bahan-bahan budaya etnik yang terdapat di Sarawak seperti tikar, tembikar, pasu dan sebagainya.
"Selain itu, muzium ini juga mempunyai barang-barang 'showcase' termasuk lampu-lampu di galeri tertentu boleh mengikut jejak kaki kita ketika bergerak dan sebagainya.
"Ia akan menjadi muzium yang sangat menarik untuk keluarga dan sudah tentu anak-anak akan suka berkunjung ke sini.
"Sementara itu, muzium kedua terbesar di Asia Tenggara akan dibuka pada jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja manakala 9.30 pagi hingga 4.30 petang pada hujung minggu atau cuti umum," ujarnya.