Hormati keputusan Sarawak menukar gelaran Premier

Keputusan menukarkan semula nama jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier' adalah hak Sarawak - Abdul Karim

KUCHING—Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi di Sarawak, tegas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, disebabkan itu keputusan menukarkan semula nama jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier' adalah hak Sarawak setelah pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 diluluskan pada persidangan DUN, 15 Februari lalu.

"Sehubungan itu, keputusan DUN Sarawak sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi di negeri ini meluluskan pindaan istilah Ketua Menteri kepada Premier perlu dihormati oleh semua pihak, " tegasnya pada sidang media Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Kebudayaan Borneo di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang meminta Sarawak mempertimbangkan istilah Ketua Menteri kepada Premier pada Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ia merupakan pendapat peribadi Awang Sariyan dan masih banyak lagi pendapat yang berbeza daripada profesor dan pakar-pakar lain dari pelbagai universiti.

Tambah beliau lagi, seorang profesor yang dikenalinya turut berpendapat bahawa tidak ada yang salah dengan pindaan RUU ini kerana ia mencerminkan hak Sarawak sebagai rakan sekutu Pembentukan Malaysia.

"Itu hak beliau (Awang Sariyan) memberikan pandangannya namun pakar-pakar lain tidak semestinya bersetuju dengan pandangan beliau," katanya sambil menambah badan penggubal undang-undang tertinggi negara adalah Parlimen di peringkat persekutuan dan DUN di peringkat negeri.

Memetik laporan daripada akhbar tempatan, Awang Sariyan menasihati Sarawak agar penggantian istilah Ketua Menteri tersebut diperhalusi semula kerana ia akan memberi banyak implikasi jangka panjang.

Antara implikasi tersebut katanya, adalah mewujudkan persepsi bahawa terdapat perdana menteri di peringkat negeri selain konsep federalisme yang menjadi asas Persekutuan Malaysia terjejas dan perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Sementara itu, penggunaan istilah Premier masih lagi menunggu keputusan rasmi RUU untuk diwartakan sebelum ia dibenarkan untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Next Post Previous Post