Gagal Kemuka Lesen GSL, Empat Kru Bot Tunda Warga Indonesia Ditahan

DITAHAN: Empat kru bot tunda yang ditahan di perairan negara, awal pagi semalam. foto ihsan APMM

MIRI: Gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL), empat kru warga asing berserta sebuah bot tunda yang dikendalikan mereka ditahan di perairan negara pada pagi semalam.


Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, dalam rondaan Op Permai yang dijalankan, pasukannya telah mengesan kehadira n sebuah bot yang mencurigakan pada jarak 42 batu nautika dari barat laut muara Sungai Miri sekitar jam 5 pagi.

Sejurus menghampiri bot tunda terbabit, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri menahan bot tunda terbabit lalu menjalankan pemeriksaan ke atasnya.


"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati bot tunda itu dikendalikan empat kru warga Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun," jelasnya.

Dua kru termasuk tekong katanya mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala dua kru lagi hanya mempunyai kad pelaut semasa diperiksa.

Tekong bagaimanapun katanya gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan bot tunda berkenaan.

Bot terbabit bersama-sama kru bot tunda itu kemudiannya ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Pulau Melayu bagi tujuan siasatan lanjut. 

Kes ini akan disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10, 000 atau penjara tidak lebih satu tahun.
Next Post Previous Post