Jangan "kitar semula" menteri yang tak cekap

Solusi pencegahan banjir diambil ringan, pandai cakap tapi tidak laksana 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menyifatkan kementerian yang menguruskan banjir tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu dalam menguruskan musibah itu.

“Saya menggesa menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu banjir di negara ini untuk menerima hakikat bahawa Malaysia sudah diuji dengan bencana ini sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.”

“Jika menteri-menteri ini tidak boleh berbuat apa-apa atau mungkin otak mereka tidak mampu 'berfungsi', maka saya memohon supaya YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan sewajarnya dengan menyingkirkan mereka daripada barisan Kabinet kerana jelas mereka menteri yang tidak mampu untuk menggalas tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Tiong berkata, mereka seharusnya mengambil sikap yang lebih serius untuk membincangkan penyelesaian banjir ini. 

Katanya, menteri-menteri pengurusan banjir sering memberikan respon 'ambil perhatian' dan 'akan dipertimbangkan' sekiranya turun ke tempat-tempat dilanda musibah atau ketika majlis bersama rakyat, namun tiada tindakan susulan yang dibuat. 

“Sudah-sudahlah bersikap sombong dan keras kepala, terimalah cadangan penyelesaian isu ini dengan hati terbuka.”

“Tiba masanya untuk menteri-menteri ini mengambil langkah muhasabah diri, cuba berada di tempat rakyat yang dilanda musibah banjir ini. Jangan hanya pandai bercakap, tapi kerja semua 'Kong Kali Kong’,” katanya.

Katanya, musibah banjir bukanlah pertama kali berlaku di negara ini, malah terdapat agensi dan jabatan berkaitan telah berjaya memberi cadangan bernas dan jalan penyelesaian berbeza bagi menanganinya masalah ini. 

Difahamkan, antara tahun 2005 hingga 2006, pihak yang berkaitan mencadangkan agar sungai-sungai di Klang dilebarkan terus ke laut, supaya hujan yang lebat dapat mengalir dengan lebih lancar. 

Jika pihak berkaitan ketika itu menerima cadangan tersebut dan mengambil langkah berjaga-jaga, turut mengkaji hala tuju pelaksanaan cadangan tersebut, mungkin ia boleh berfungsi sebagai tebatan banjir (retention pond) dalam kejadian banjir untuk membantu mengawal kesan banjir dan mengurangkan kesan hujan lebat di kawasan rendah. 

Menurut Tiong setiap tahun Rancangan Malaysia tidak mengendahkan keperluan mencegah banjir.

“Apabila saya bertanya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan saya tentang penyelenggaraan dan pembersihan sungai, jawapan yang saya terima ialah jabatan tersebut tidak menerima peruntukan yang mencukupi. 

“Mereka memandang ringan bencana ini, sehingga terlalu berat untuk ditanggung setiap kali banjir melanda. Akibat daripada sikap 'terlepas pandang' inilah, kita masih belum dapat melaksanakan kerja-kerja di sungai berkaitan, sehingga kita terpaksa menanggung kerugian lebih RM6 bilion,” katanya.

Rakyat hanya menanti dengan penuh harapan kerana percaya kata-kata yang diucapkan oleh menteri ini sebagai janji. 

Di Bintulu misalnya, beliau berkali-kali mencadangkan agar dasar Sungai Sibiyu dan Sungai Kemena digali dengan lebih dalam supaya kejadian banjir dapat dielakkan. Namun, ia masih tidak dilaksanakan. 

“Adakah kerajaan sanggup melihat rakyat menghadapi banjir berulang kali? Adakah musibah ini tidak memberi kesan kepada menteri-menteri ini kerana dapat tunjuk kepada rakyat yang mereka turun padang melawat ke tempat kejadian selepas banjir surut?”

“Bayangkan jika perkara yang sama berlaku kepada diri anda dan ahli keluarga, apa perasaan anda?”, katanya.

Dalam pada itu beliau menyokong dan bersetuju agar kedua-dua pihak daripada kerajaan dan pembangkang bersatu dalam menyelesaikan isu kepentingan rakyat dengan mengenepikan fahaman dan perbezaan politik masing-masing serta bekerjasama menyelesaikan kesusahan yang dihadapi rakyat.


Next Post Previous Post