Cegah penularan ASF, jangan buru babi hutan masa ini-Hasnul


MUKAH: Hentikan sementara aktiviti memburu babi hutan dan membawa haiwan berkenaan pulang ke rumah panjang bagi mengelak penularan penyakit Deman Babi Afrika (ASF).

Perkara itu diingatkan Ketua Perkhidmatan Veterinar Bahagian Mukah Hasnul Abdullah Buyong untuk penduduk di situ terutamanya masyarakat yang tinggal di rumah-rumah panjang dan memiliki penternakan kecilan haiwan berkenaan.

Jelasnya, aktiviti memburu babi hutan dan membawa balik ke rumah panjang akan menambahkan risiko penularan virus tersebut ke atas babi ternakan.

"Babi hutan adalah pembawa kepada ASF dan boleh menjangkiti ternakan babi di kawasan rumah panjang," katanya dipetik menerusi laporan Utusan Borneo hari ini.

Hasnul menjelaskan, virus itu merebak apabila sisa makanan yang telah bercampur daging babi hutan yang diberikan kepada babi yang diternak akan menyebabkan wabak itu menjangkiti babi ternakan tersebut.

Tegas beliau, setakat ini tiada ubat atau vaksin yang boleh menyembuhkan babi yang telah dijangkiti ASF.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah menyarankan para penternak babi supaya mempertingkatkan kebersihan kandang babi mereka.

Pada masa sama beliau memberitahu, penternak juga telah diarahkan untuk memperketatkan kawalan keluar dan masuk babi ternakan ke kawasan mereka bagi mencegah wabak daripada merebak ke kawasan mereka.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula telah mengadakan ceramah tentang kesedaran ASF dan juga mengedarkan risalah-risalah berkaitan kepada penduduk di rumah-rumah panjang dan ketua masyarakat.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya, setakat ini Mukah masih lagi bebas ASF," katanya sambil menambah ini berikutan tiada laporan yang dibuat penternak berhubung kematian mengejut babi ternakan mereka.

Sebelum ini, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom pada 11 Januari lalu mengesahkan wabak itu telah dikesan di ladang kecil babi di Durin, Sibu.
Next Post Previous Post