Cari penyebab kekalahan teruk gesa Lim kepada DAP Sarawak


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak harus mencari punca kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu dengan hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menerusi laporan The Borneo Post dipetik berkata, DAP Sarawak perlu mengetahui sebab prestasi buruk dan kemerosotan serius dalam PRN-12 lalu dan pada masa sama memberi tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

"(DAP) Sarawak mencatat prestasi buruk dalam pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan bulan lalu.  Saya kecewa dengan keputusan itu kerana selain kerusi DUN Padungan dan Pending, saya menjangkakan DAP akan memenangi Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.

"DAP Sarawak harus mengetahui punca prestasi buruk dan kemerosotan serius ini, tetapi lebih penting adalah fokus kepada persediaan menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan tahun ini,” katanya ketika berucap  pada perasmian Konvensyen Biasa DAP Sarawak 2022 hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan ramai bahawa ada sinar baharu untuk Sarawak dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, empat hari sebelum PRN-12. 

"Kami mahu sinar baharu untuk Sarawak tetapi sinar baharu itu untuk Sarawak itu belum dicapai. Ia masih dalam proses. Apa yang berlaku di Parlimen hanyalah selangkah untuk membawa sinar baharu bagi Sarawak selepas setengah abad malam.  Banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum tiba sinar baharu di Sarawak.

"Pertama, tidak ada sinar baharu untuk Sarawak jika tiada sinar baharu untuk Malaysia," jelasnya. 

Lim berkata ia mungkin akan mengambil masa lebih tiga dekad untuk mencapainya dan walaupun begitu, hanya apabila Malaysia mula mengamalkan dasar “Malaysian First” untuk seluruh negara dan dasar “Sarawak First” untuk Sarawak.

Mengenai DAP di Sarawak, beliau berkata DAP Sarawak sejak penubuhannya pada 1978 telah melancarkan perjuangan jangka panjang dalam dua bidang - pertama untuk mewujudkan Sarawak bertaraf dunia dan kedua, untuk mewujudkan Malaysia bertaraf dunia.

“Kami bertemu dengan kejayaan awal pada 1982 untuk menghantar dua Ahli Parlimen, mewakili Kuching dan Sibu, ke Parlimen, tetapi DAP Sarawak terpaksa bergelut selama 18 tahun dari 1978 hingga 1996 untuk dipilih menjadi wakil dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak tetapi dua objektif untuk mewujudkan Sarawak bertaraf dunia dan Malaysia bertaraf dunia adalah perjuangan yang belum selesai,” katanya.

Beliau berkata terdapat banyak kekecewaan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat dengan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, kerana harapan dan jangkaan sangat tinggi terhadap kejayaan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam menumbangkan kerajaan UMNO yang dilihat tidak dapat dikalahkan selama setengah abad.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju bahawa DAP perlu berpisah daripada gabungan PH tanpa berusaha untuk melaksanakannya.

Beliau berkata DAP mesti tabah dalam perjuangannya untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik dan Sarawak yang lebih baik "bukan untuk kepentingan kita sendiri, tetapi demi generasi akan datang”.

Mengenai perkara berkaitan, beliau berkata kurangnya pemahaman mengenai kepentingan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan telah mengakibatkan kritikan bahawa PH tidak lagi menjadi pembangkang.

 “Tiada apa yang boleh jauh dari kebenaran.  Mereka gagal menyedari bahawa keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang berjaya menamatkan penguasaan politik Umno telah menghasilkan syarat-syarat untuk MoU itu.

"Ia kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara yang menghasilkan syarat-syarat yang menjadikan MoU ini perlu dibuat," katanya.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi memulihkan kestabilan politik sementara kerajaan menguruskan pandemik COVID-19 dan meningkatkan pemulihan ekonomi.

Tamat

Next Post Previous Post