Ladang ternak babi di Pasir Puteh Simunjan diiktiraf dunia, bebas ASF

KUCHING-- Ladang ternakan babi (PFA) di Pasir Puteh, Simunjan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) sebagi kawasan bebas jangkitan penyakit demam babi Afrika (ASF). 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ladang itu ketika ini secara purata mengeksport 2,500 ekor babi setiap minggu ke Singapura.

"Sejak 2017, Sarawak telah mengeksport lebih 380,000 daging babi bernilai RM400 juta ke Singapura," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Rundi berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk penubuhan ladang babi moden di Selangau, Sibu.  

Katanya, majlis pecah tanah telah diadakan pada 6 November lalu dan kerja pembangunan akan dimulakan pada Disember 2024.

"Di samping itu, Kementerian saya sedang giat mempromosikan pembangunan Ladang Babi Moden (MPF) di kawasan lain dengan langkah biosekuriti yang ketat.  

"Sebuah syarikat swasta telah mula membangunkan MPF di Ensengei, Serian dengan keluasan 500 ekar (202 Hektar).  

"Jumlah kapasiti MPF ini ialah 80,000 Populasi Babi (SPP) yang mana 750 ekor penternak diimport dari Amerika Syarikat pada Januari tahun ini. 

"Fasa Pertama pembinaan bangunan sedang dijalankan dan beroperasi serentak dengan pengeluaran daging babi pertama menjelang April 2025," jelasnya.

Justeru, tegasnya, menjelang 2030, Sarawak akan dapat mengeluarkan 860,000 ekor babi setiap tahun bernilai RM1.5 bilion dan nilai eksport RM723 juta.

"PFA Pasir Puteh, Simunjan dijangka mencapai kapasiti penuh 250,000 SPP, MPF Ensengei 80,000 SPP dan PFA Selangau dijangka menghasilkan 125,000 SPP.  

"Dengan jumlah jangkaan 500,000 SPP, menjelang 2030, akan membolehkan Sarawak menjadi pengeksport produk khinzir serantau.  

"Memandangkan Sarawak bebas FMD tanpa vaksin, Kementerian saya akan terus menyokong dan memudahkan pelaburan sektor swasta dalam industri babi," ujarnya.
Next Post Previous Post