RM316.3 juta diluluskan laksana projek kawalan hakisan pantai di 17 lokasi di Sarawak-Fadillah

KUCHING-- Sebanyak RM316.3 juta diluluskan untuk melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai dan limpahan air laut di 17 lokasi di Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, peruntukan itu diluluskan kerajaan persekutuan bagi melaksanakan projek melibatkan 17 lokasi yang dikenal pasti di enam bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Betong, Miri, Mukah, Limbang dan Samarahan.

“Projek ini melibatkan 17 lokasi dan masih dalam proses perolehan. Kami masih menunggu ia dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (PH–Miri) yang ingin tahu peruntukan kepada Sarawak bagi menangani masalah hakisan di Pantai Lutong di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Fadillah berkata, beliau berharap projek berkenaan akan dapat menyelesaikan sebahagian besar isu hakisan pantai di kawasan-kawasan terlibat.

Mengulas mengenai peruntukan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri, Fadillah memberitahu sebanyak RM950 juta disalurkan untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Jelas beliau, sejumlah RM410 juta diperuntukkan untuk memulihara sungai bagi mengurangkan risiko banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kepada setiap negeri.

Selain itu, katanya, JPS juga memperuntukkan sebanyak RM540 juta di bawah RMKe-12 bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur-struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara.

"Agihan peruntukan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa setiap negeri," ujarnya.
Next Post Previous Post