Suspek kes tikam bapa saudara di Haji Baki direman tujuh hari

KUCHING-- Seorang pemuda yang disyaki membunuh bapa saudaranya di Kampung Haji Baki malam tadi kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, suspek berusia 27 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Suspek berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi kejadian dan telah direman bermula 4 hingga 10 Jun bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, Mohd Irwan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 8.50 malam tadi memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki di sebuah perkampungan di Jalan Haji Baki di sini.

Susulan itu, jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama D9 JSJ IPK Sarawak bergegas ke lokasi kejadian. 

"Seorang lelaki berumur 55 tahun dijumpai terbaring dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," ujarnya.

Terdahulu, seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat ditikam menggunakan gunting oleh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Haji Baki di sini malam tadi.

Difahamkan, mangsa adalah bapa saudara kepada suspek.

Suspek dikatakan tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya dan sering meminta wang daripada bapa saudaranya itu.

Dipercayai berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum kejadian malang itu berlaku.
Next Post Previous Post