Dua lelaki maut, motosikal ditunggang bertembung kereta di Simpang Jalan Kampung Biawak

LUNDU -- Dua lelaki maut selepas dua buah motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku di Simpang Jalan Biawak di Jalan Lundu-Sematan awal pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, kedua-dua lelaki yang belum diketahui identiti itu disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.

"Pemandu kereta yang menggunakan Proton Gen2 bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Menurutnya, sepasukan anggota BBP Lundu bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 1 pagi.

Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya insiden pertembungan yang melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal yang mana kedua-dua mangsa dilihat terpelanting ke atas jalan.

Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Punca berlakunya kemalangan masih lagi dalam siasatan. 

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post