MASwings dan Affin Bank bukan tuntutan di bawah MA63 tetapi dibeli- Dr Sim

KUCHING-- Affin Bank dan MASwings bukan sebahagian daripada tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi dibeli oleh kerajaan Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau menegaskan pengambilalihan dua entiti yang sedang diusahakan kerajaan Sarawak itu bakal dimiliki menerusi proses jual beli demi kesinambungan pembangunan sosioekonomi yang bakal dinikmati rakyat.

"Sesetengah pihak beranggapan bahawa pengambilalihan bank dan syarikat penerbangan itu antara tuntutan Sarawak di bawah MA63 adalah tidak benar sama sekali kerana ia merupakan pemilikan bagi tujuan komersial.

“Sesiapa sahaja berhak untuk membelinya. Sabah, Selangor, Johor pun boleh membeli, tiada siapa menghalang. Sarawak hanya memerlukan lesen. Beri kami lesen, kami akan buka penerbangan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Nyalaan Lampu sempena Hari Gawai Dayak akan datang di replika kucing di Padungan, di sini malam Rabu.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pengambilahlian kedua-dua syarikat koporat itu adalah untuk memacu pembangunan ekonomi negeri ini, di samping demi kesejahteraan rakyatnya.

Pada sama sama katanya ia juga untuk memboleh kerajaan negeri mengawal kadar tambang susulan sering berlaku kenaikan mendadak menjelang musim perayaan yang menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran untuk balik ke negeri ini.

Dalam pada itu, mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di Bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 pada Selasa, beliau berkata perbincangan berjalan dengan lancar.

Jelas beliau, ia adalah situasi menang-menang yakni kedua-dua belah pihak akan mendapat manfaat menerusi persetujuan bersama.
Next Post Previous Post