Lelaki ditangkap kantoi sorok syabu

KOTA SAMARAHAN-- Seorang lelaki dicekup bersama 0.70 gram syabu di tepi jalan Taman Sentosa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, suspek berusia 40-an ditangkap sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosial dari Balai Polis Kota Samarahan.

"Pasukan menahan serta memeriksa sebuah motorsikal di tepi jalan Taman Sentosa Kota Samarahan yang ditunggang oleh seorang lelaki yang berkelakukan mencurigakan. 

"Semasa diperiksa pasukan telah menjumpai satu paket plastik yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.70 gram yang disimpan dalam tubuh badan suspek semasa diperiksa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut. 

"Ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," jelasnya.

Berikutan itu, tegasnya suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan dan saspek juga turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Dalam pada itu, Jaimi memberitahu IPD Kota Samarahan telah melancarkan Operasi Bersepadu untuk memastikan keselamatan serta mencegah berlakunya kegiatan jenayah di kawasan pentadbiran daerah Kota Samarahan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk membantu pihak polis menyalurkan maklumat kes-kes jenayah yang berlaku di sekitar kawasan kediaman mereka.
Next Post Previous Post