Anak beruang matahari santai atas bumbung kereta di kawasan rumah panjang Usik Sungai Keriuk di Niah diselamatkan

MIRI -- Pasukan bomba bertindak menyelamatkan seekor anak beruang yang tersesat dan naik ke atas bumbung sebuah kereta milik penduduk di Rumah Panjang Usik di Sungai Keriuk di sini pagi tadi 
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi haiwan terlindung itu bagi menjalankan kerja-kerja menangkap haiwan liar itu sejurus menerima panggilan pada jam 10.40 pagi.

"Tiba di lokasi, pasukan keluaran operasi(PKO) mendapati sememangnya terdapat seekor anak beruang berada di atas bumbung kereta," ujarnya.

Pasukan bomba dengan menggunakan PPE lengkap kemudiannya bertindak menangkap dan menjerut anak beruang itu dalam masa setengah jam yang mana ianya berjaya ditangkap pada jam 11.29 pagi.

Selepas berjaya ditangkap, beruang terbabit kemudiannya diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

Secara amnya, beruang matahari dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 yang mana tindakan membunuh, memelihara, menjual dan membeli haiwan itu adalah dilarang.

Sekiranya didapati bersalah, setiap individu yang didapati bersalah boleh dipenjarakan selama satu tahun dan denda RM10,000.
Next Post Previous Post