Tiga bekas pemimpin PSB dijangka duduk di blok kerajaan pada Persidangan DUN

KUCHING -- Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba' Kelalan Baru Bian menyerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dalam menentukan kedudukan tiga bekas ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam persidangan DUN kelak.

Ini susulan tiga belas ADUN PSB itu, Baru, Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili) kini sah menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) selepas PSB dibubarkan Mac tahun ini.

"Kita menyerahkan perkara itu kepada Speaker DUN untuk menentukannya, pemimpin PDP (Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing) sudah memaklumkan penyertaan kami dalam PDP kepada Premier dan Speaker DUN.

"Jadi saya pasti Premier dan Speaker DUN tahu apa yang mereka perlu buat," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Shell Malaysia di Hotel Hilton hari ini.

Beliau memberitahu, kemungkinan kedudukan ketiga-tiga bekas pemimpin PSB itu diletakkan di blok kerajaan dalam DUN nanti.

Dengan penyertaan tiga ADUN bekas PSB itu menjadikan hanya tinggal dua ADUN sahaja yang tinggal di blok pembangkang, iaitu dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chong Chieng Jen (ADUN Padungan) dan Violet Yong Wui Wui (ADUN Pending).

Mengenai penerimaan penyokongnya di Ba' Kelalan, Baru berkata rakyat di kawasannya menerima baik keputusannya menyertai PDP.

Jelasnya, dalam tempoh dua minggu, lebih 3,000 pengikutnya memohon menjadi ahli PDP. 

"Rakyat akar umbi melihat peralihan politik ini sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk kita di Ba' kelalan dan saya gembira dengan sokongan ini," ujarnya.

Untuk rekod, PSB dibubarkan selepas Persidangan Khas Perwakilan pada 17 Februari 2024 dengan permohonan pembubaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Mac lalu.
Next Post Previous Post