Semangat rakyat Sarawak luar biasa, rai Aidilftiri bersama-Fadillah

KUCHING-- Semangat rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak dalam meraikan perayaan bersama sangat luar biasa, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau memberitahu, ini mengukuhkan lagi perpaduan rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang sekali gus menjadi asas yang kukuh kepada negeri ini.

"Pada hari rumah terbuka saya sepatutnya bermula pukul 10.00 pagi, tetapi jam 9.15 orang sudah mula datang. 

"Jadi maknanya semangat untuk kita merayakan kebersamaan di antara kita ini sangat-sangat baik di Sarawak. 

"Ini mengukuhkan perpaduan kita dan saya mengharapkan ia akan kekal dan ini adalah asas kekuatan kita di Sarawak iaitu perpaduan, hidup dalam keadaan harmoni tak kira latar belakang, kita adalah bersaudara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Hikmah Exchange Event Centre di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengucapkan 
terima kasih kepada semua tetamu yang hadir khususnya rakyat Sarawak dan Petra Jaya yang datang memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

"Tidak kira latar belakang agama, kepercayaan dan keturunan kita bersama-sama meraikan Hari Raya untuk kita mengeratkan hubungan antara kita semua dan kali ini saya memerhatikan bahawa sambutan di Sarawak agak luar biasa," tambahnya.

Mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang, Fadillah berkata, kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini (17 April) bagi membincangkan perkara itu.

"Kami akan berbincang di peringkat Majlis Perpaduan Kerajaan MADANI, akan adakan mesyuarat," jelasnya ketika ditanya berhubung peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.
Next Post Previous Post