Bil hospital cecah RM90,000, pekerja Malaysia terlantar di Korea Selatan rayu bantuan

Juitah bersama adiknya Eddy semasa mendapatkan rawatan di Jincheon Jeil Hospital, Korea Selatan akibat pneumonia. 

KOTA KINABALU— Sebuah keluarga dari Keningau buntu memikirkan masalah kewangan bagi menampung kos rawatan seorang daripada ahli keluarga mereka yang kini terlantar sakit di sebuah hospital di Korea Selatan sejak sebulan lalu.

Juitah Laimin, 35, berkata, adiknya Eddy, 27 disahkan menghidap pneumonia dan dimasukkan ke Chungbuk National University Hospital pada 18 Mac lalu sebelum meneruskan rawatan lanjut di Jincheon Jeil Hospital.

 Bil di Hospital Chungbuk yang masih tertunggak. Gambar ihsan Juitah Laimin


“Sepanjang rawatan setakat hari ini, bil rawatan sudah mencecah RM90,000 dan jumlah itu bertambah setiap hari, malah bil di hospital Chungbuk masih ada tunggakan.

“Apa yang meresahkan, Eddy mungkin perlu ditahan selama sebulan lagi untuk memastikan dia benar-benar pulih sebelum keluar hospital.

“Setakat ini sebanyak RM15,000 telah dibayar hasil sumbangan orang awam dan rakan-rakan Eddy, namun kami memerlukan sumbangan untuk menyelesaikan baki,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Antara usaha yang dilakukan ialah mengumpul duit di kalangan adik-beradik selain mendapatkan bantuan di media sosial untuk membantu membayar bil hospital tersebut.

Setakat ini mereka sudah mengumpul lebih RM20,000 termasuk dana daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membayar bil yang tertunggak.

Sementara itu, Juitah yang kini berada di Korea Selatan sejak 8 April lalu berharap dapat membawa adiknya pulang ke Malaysia sebaik sahaja keadaannya mengizinkan.

“Keadaan Eddy sudah semakin pulih namun dia masih menggunakan oksigen memandangkan keadaannya belum stabil.

“Doktor memaklumkan semua kuman dalam paru-paru pun tinggal sedikit lagi namun dia perlu di bawah pemerhatian selama sebulan oleh pihak hospital sehingga sihat untuk menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia,” kata Juitah.

Sementara itu menerusi satu hantaran di Facebook, orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi rakan sekerja Larry Liau Gisar di talian ‪+82 10‑6884‑2275‬ atau Fahmi +82 10-2945-5734.

Gambar ihsan Juitah Laimin
Next Post Previous Post