Persekutuan setuju gubal undang-undang karbon berdasarkan Sarawak

KUCHING— Kerajaan persekutuan akan memperkenal undang-undang perdagangan karbon negara berdasarkan Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dimaklumkan kepada timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada mesyuarat majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lepas.

“Saya dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan memperkenalkan undang-undang persekutuan, yang akan digubal berdasarkan undang-undang kita di Sarawak.

“Sehubungan itu persekutuan akan hantar pegawai untuk mengkaji dan menerapkan undang-undang (Sarawak) dalam undang-undang persekutuan,” katanya dipetik Free Malaysia Today selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di sini, pada Rabu.

Pada November lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 menjadikan negeri ini yang pertama di Malaysia menggubal undang-undang berkaitan perdagangan karbon.

Rang undang-undang itu bertujuan menggalakkan penangkapan dan penyimpanan karbon serta mengurangkan kesan perubahan iklim seterusnya mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Abang Johari berkata, undang-undang karbon Sarawak adalah menyeluruh dan berdasarkan cadangan Bank Dunia.

“Namun sebagai sebuah negeri, kita tidak dapat melaksanakan undang-undang ini bersendirian. Ia mesti menjadi dasar negara dan undang-undang persekutuan diperlukan kerana perdagangan karbon melibatkan perjanjian antara kerajaan, yang tidak dapat disertai Sarawak sebagai negeri.

“Justeru, kerajaan persekutuan mesti memperkenalkan undang-undang sedemikian segera.

“Jadi, untuk Malaysia mengambil langkah ke hadapan, mesti ada parameter undang-undang ini untuk kita terlibat dalam perdagangan karbon antarabangsa serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Abang Johari menambah Singapura dan Indonesia telah pun menandatangani surat niat bagi usaha memerangkap dan menyimpan karbon rentas sempadan pada 2022.

Katanya, Malaysia mempunyai peluang besar untuk melibatkan diri dalam perdagangan karbon apabila syarikat perkapalan global beralih daripada menggunakan bahan api fosil kepada metanol hijau.
Next Post Previous Post