Rafizi belum jumpa perjelas isu PADU-Abang Johari

KUCHING-- Sudah hampir dua minggu tamatnya pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli masih lagi belum mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak.

Perkara ini dijelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata pihaknya masih menunggu Rafizi datang bertemu bagi memperjelaskan isu PADU itu.

"Setakat ini tidak ada, kami masih menunggu (Rafizi datang memperjelaskan isu PADU)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. 

Pada Mac lalu, Sarawak menangguhkan pendaftaran PADU kerana dikaitkan dengan data privasi dan mahu penjelasan terperinci daripada Kementerian Kewangan mengenai perkara itu.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berhubung isu pendaftaran PADU kepada kerajaan Sarawak.

Anwar berkata, ia susulan kebimbangan yang dibangkitkan kerajaan Sarawak mengenai sistem itu.

"Saya sempat bincang dengan Premier Sarawak dan beliau menyuarakan beberapa kebimbangan serta membangkitkan beberapa persoalan.

"Sehubungan itu, Menteri Ekonomi diminta meneliti dan menjelaskannya kepada Jemaah Menteri," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan kerajaan Sarawak agar pendaftaran dan kemas kini PADU di negeri itu ditangguhkan.

Sebelum ini Media juga melaporkan Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu pendaftaran PADU.

Rafizi berkata, arahan penanguhan pendaftaran PADU itu adalah bagi membolehkan Sarawak memperoleh penjelasan daripada Kementerian Ekonomi berdasarkan beberapa pandangan susulan mesyuarat Kabinet negeri.
Next Post Previous Post