Ambang Aidilfitri berakhir di lokap, lelaki ditahan edar dadah

Syabu dan pil erimin yang dirampas daripada suspek. Gambar ihsan Polis Miri

MIRI— Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah ditahan dalam satu serbuan di tepi jalan di Desa Pujut Utama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis semasa Op Bersepadu Ronda Cegah Jenayah Ambang Hari Raya pada 12.30 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut telah menjumpai dadah jenis syabu berjumlah 56.59 gram dan 100 biji pil Erimin 5 dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM8,190,” katanya dalam kenyataan di sini.

Alexson menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Beliau juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post