Pengurus syarikat rugi RM140,000 terpedaya skim pelaburan emas tidak wujud

KUCHING-- Seorang pengurus syarikat swasta di Bintulu rugi RM140,000 selepas terpedaya skim pelaburan emas tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia 30-an tampil membuat laporan berhubung kes itu semalam.

"Menurut mangsa pada 25 Mac 2024, semasa berada di rumahnya di Bintulu telah tertarik dengan skim pelaburan emas yang diperkenalkan oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai "Gao Yun Ze" (suspek) melalui laman Instagram. 

"Selepas itu, suspek telah memberikan satu link (https://www.sfejs09.xyz/#/index) kepada mangsa mendaftarkan diri sebagai ahli untuk memulakan pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seterusnya kata Mancha, mangsa telah diterangkan oleh suspek mengenai pelaburan tersebut serta mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM102,000 dalam tempoh hari yang sama.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan 10 transaksi pembayaran bagi tujuan pelaburan, keseluruhannya berjumlah RM140,000 melalui pemindahan wang ke tiga akaun bank yang berbeza daripada hujung bulan Mac sehingga awal bulan April 2024," jelasnya.

Katanya, mangsa sedar dirinya telah ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan dan modal pelaburan seperti dijanjikan. 

Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan hanya melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja. 

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan," ujarnya.
Next Post Previous Post